
KUALA LUMPUR, 5 Jun 25 – Kumpulan Sekretariat Tanah Air (STAR) menyifatkan kertas nasihat bertajuk “Our ASEAN: Peoples At The Core” yang telah dikemukakan kepada Pengerusi ASEAN 2025 sebagai suatu percubaan untuk mencabar asas fundamental yang membentuk ASEAN sebagai sebuah komuniti yang berdaulat, stabil dan bermaruah.
Setiausahanya, Dr Armin Pahamin Baniaz berkata kertas tersebut membawa tuntutan-tuntutan yang bertentangan dengan realiti sosio-budaya Asia Tenggara
“Di sebalik retorik progresif yang diketengahkan, kertas ini membawa tuntutan-tuntutan yang bertentangan dengan realiti sosio-budaya serta aspirasi rakyat Asia Tenggara.
“Cadangan untuk memisahkan agama daripada urusan kenegaraan, normalisasi penuh agenda LGBTQIA+, desakan menghentikan penggunaan bahan api fosil secara drastik serta usaha menubuhkan badan kehakiman supranasional ASEAN adalah langkah-langkah yang bukan sahaja tidak selari dengan keperluan sebenar rantau ini, malah memperlekehkan sensitiviti budaya, nilai agama dan keperluan pembangunan negara-negara anggota. Ujarnya.
Tambah Armin, gerakan ini cuba memaksakan nilai-nilai liberal Barat ke atas Asia Tenggara tanpa mengambil kira norma, budaya dan tradisi tempatan adalah satu bentuk baharu penjajahan nilai.
“Cadangan ini dilihat lebih dipacu oleh sentimen politik semata-mata, tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap integrasi serta keberkesanan ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang kukuh dan bersatu.
“ASEAN tidak boleh dijadikan medan ujikaji kepada idealisme kosong mahupun boneka kepada arus globalisasi tanpa sempadan yang boleh menghakis identiti tempatan.
Tegas beliau, Sekretariat Tanahair menolak sekeras-kerasnya segala bentuk cubaan untuk mengubah jati diri budaya, agama dan sosio-politik Asia Tenggara.
Terdahulu, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) telah mempersembahkan warkah bantahan rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung dokumen bertajuk ‘Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia’ yang dikemukakan oleh gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) ASEAN.
Menurutnya, warkah tersebut mewakili suara lebih 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari seluruh negara bagi menyatakan kebimbangan serius terhadap kandungan dokumen tersebut yang dilihat boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta struktur sosial yang berteraskan nilai budaya dan agama tempatan. @politiko.my