Prosedur Hj Hadi Berjaya, Kualiti IJN Setaraf Negara Maju, kata PAS

KUALA LUMPUR, 18 Jun 25 – Institut Jantung Negara (IJN) memiliki kepakaran dan keupayaan setanding negara maju, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenyataan itu susulan kejayaan pasukan perubatan IJN merawat Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

“Kejayaan pembedahan ini membuktikan bahawa negara kita memiliki kepakaran dan fasiliti perubatan yang setanding dengan negara-negara maju.

“Ia bukan sahaja melegakan para pendukung dan ahli PAS yang amat menyayangi presiden,” kata Tuan Ibrahim dalam hantaran di Facebook.

Tambahnya, beliau sendiri berpengalaman melihat komitmen ditunjukkan kakitangan IJN yang merawat Hadi.

“Beberapa jam sebelum prosedur dijalankan, saya bersama beberapa pimpinan kanan parti telah diberi taklimat oleh pasukan pakar yang merawat presiden.

“Saya dapat melihat sendiri betapa tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan ini dalam melaksanakan pembedahan tersebut. Sesungguhnya, dengan ketabahan, kesungguhan, kepakaran, serta doa yang dipanjatkan oleh semua pihak kepada Allah SWT, akhirnya presiden telah selamat menjalani pembedahan,” kata Tuan Ibrahim

Bagi pihak PAS, Tuan Ibrahim turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, khususnya pasukan pakar dan jururawat di IJN.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan pakar IJN yang telah berjaya melaksanakan prosedur rawatan jantung ke atas presdien

“Semoga Allah SWT membalas jasa dan pengorbanan semua pihak dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat,” tambahnya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share