
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 25 – Ahli Parlimen kerajaan, Mohd Sany Hamzan meminta agar isu siasatan dan perbicaraan Zara Qairina Mahathir tidak dipolitikkan sebaliknya menggesa rakyat terus meletakkan harapan terhadap agensi penguatkuasa.
Menurutnya, masyarakat perlu memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan agar keadilan dapat ditegakkan.
“Isu ini jangan dipolitikkan. Ini libatkan kematian. Kita hormati.
“Negara kita ada hukum, undang-undang, prosedur. Badan mana lagi nak letak harapan, sudah tentu pihak berkuasa.
“Dalam perbahasan saya, kita beri ruang pihak berkuasa jalankan siasat. Adil. Supaya semua pihak dapat keadilan dan saksama supaya dapat rungkai apa yang berlaku. Katanya kepada politiko.
Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, sungguhpun kita tak mahu kejadian buli, namun ia dah berlaku dan masyarakat harus meletakkan kepercayaan kepada sistem dan pihak berkuasa.
“Gejala buli kita tak nak berlaku tapi dah berlaku. Kita kena letakkan kepercayaan kepada sistem. Dan badan berkuasa, kalau kita tak percaya badan mana lagi kita nak percaya? Soalnya.
Kematian tragis pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan rakyat terutama selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah terbabit.
Pada 20 Ogos, Mahkamah telah menjalankan prosiding pertuduhan terhadap lima pelajar perempuan di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes Allahyarhamah Zara .
AGC dalam satu kenyataan media memaklumkan dakwaan terhadap lima remaja bawah umur itu dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana pertuduhan itu merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Allahyarhamah Zara.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.