
KUALA LUMPUR, 15 DIS 25 — Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin lemah sehinggakan rakan politik tidak lagi menghormatinya, kata penganalisis.
Dr Mazlan Ali, dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat, beberapa isu melibatkan ahli Parlimen Pagoh itu kebelakangan ini dilihat menjejaskan reputasinya.
“Tapi disini jelas kedudukan Muhyiddin semakin tidak sekuat dahulu cengkaman beliau. Pengerusi PN itu nampak agak longgar,” katanya, kepada politiko.my.
Katanya keputusan Muhyiddin berkaitan kedudukan Adun Karambunai Datuk Dr Aliakbar Gulasan di DUN Sabah untuk kekal sebagai pembangkang juga tidak dihormati komponen PN dari PAS.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mengumumkan Dr Aliakbar akan menyokong kerajaan Sabah.
“Ini nampak PAS seolah-olah tak hormat kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi PN. Nampak Muhyiddin seperti hilang kawalan.
“Dulu sebarang keputusan Muhyiddin akan dipatuhi parti komponen, walaupun nampak kecil tapi impak besar. Menunjukkan PAS ada pendirian sendiri walaupun PAS dalam PN,” kata Mazlan lagi.
Sebelum ini, Mazlan turut mengulas isu berkaitan dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini dilapor mengaitkan presiden Bersatu itu dengan penyelewengan dana parti.
Katanya, Muhyiddin perlu membersihkan namanya dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.