Kesalahan Pada Sistem dan Pegawai 1MDB, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 21 Okt 2025 — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan beliau tidak sepatutnya dipersalahkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya menyalahkan sistem pentadbiran serta pegawai pengurusan 1MDB yang menurutnya gagal menjalankan tanggungjawab dengan betul.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Najib mendakwa dirinya “didakwa secara tidak adil”, dan menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai tindakan yang tidak mengambil kira peranan sebenar pihak pengurusan 1MDB.

“Saya didakwa secara tidak adil. Kesilapan bukan pada saya semata-mata, tetapi pada sistem dan pegawai yang gagal melaksanakan tugas mereka,” katanya ketika memberi keterangan.

Najib turut menjelaskan bahawa pelbagai keputusan operasi dan pelaburan dalam 1MDB dibuat oleh pegawai kanan syarikat, tanpa pengetahuan langsung beliau sebagai pengerusi lembaga penasihat ketika itu.

“Segala keputusan dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah. Saya tidak terbabit secara langsung dalam urusan harian syarikat,” katanya lagi.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram  melibatkan dana 1MDB.

Beliau dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank antara Februari 2011 dan Disember 2014. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share