Ketua Pembangkang Dedah Bajet Madani ‘Tiada Arah Tuju’ Dan Tak Cipta Kekayaan Baharu – MP Gerik

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Ahli Parlimen Gerik, YB Fathul Huzir Ayob (Perikatan Nasional), menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat semalam yang menegaskan bahawa Bajet Madani 2026 gagal menjadi pelan pembangunan sebenar negara.

Menurut beliau, ucapan Ketua Pembangkang itu menggambarkan hakikat sebenar kelemahan Bajet Madani, yang lebih menumpukan kepada urusan pentadbiran, pembayaran hutang dan pembiayaan semula defisit, bukannya rancangan strategik untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Sejak 2023, bajet yang dibentangkan lebih bersifat pengurusan (managerial), bukan bajet pembangunan yang mencipta kekayaan baharu untuk rakyat luar bandar, usahawan kecil dan sektor industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fathul Huzir berkata, sebagaimana ditegaskan Ketua Pembangkang, kerajaan perlu beralih daripada pendekatan ‘mengurus kemiskinan’ kepada ‘membangunkan kemakmuran’, kerana Bajet Madani kini semakin cenderung kepada ekonomi kapitalis berasaskan hutang dan perbelanjaan kerajaan.

“Fokus Bajet Madani kini menghala ke arah ekonomi kapitalis yang bergantung kepada hutang dan perbelanjaan kerajaan, bukan ekonomi produktif yang digerakkan oleh inovasi, pelaburan dan perusahaan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila peruntukan pembangunan terus mengecil, sedangkan sektor luar bandar dan perusahaan kecil masih belum mendapat manfaat besar daripada dasar fiskal semasa.

Ahli Parlimen itu mencadangkan supaya kerajaan menumpukan kepada tiga pembaikan utama antaranya pembangunan ekonomi luar bandar melalui padanan dengan industri besar, penyusunan semula insentif fiskal bagi menggalakkan pelaburan domestik, dan reformasi belanjawan yang memastikan setiap ringgit dibelanjakan menghasilkan nilai ekonomi sebenar.

Fathul Huzir juga menyokong pandangan Ketua Pembangkang bahawa Bajet Madani 2026 hanya bersifat kosmetik, dengan pendekatan fiskal yang tidak memberi kesan nyata kepada pembangunan negara.

“Bajet ini lebih menumpukan kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan berbanding agenda pertumbuhan dan hala tuju industri yang jelas,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat kini semakin muak dengan bajet yang hanya indah pada angka tetapi gagal mengubah kehidupan, sambil menambah bahawa Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa dengan menawarkan Bajet Alternatif yang lebih berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Rakyat perlukan bajet pembangunan sebenar, bukan sekadar slogan Madani yang manis didengar. Insya-Allah, apabila kami diberi mandat nanti, haluan ekonomi negara akan dibetulkan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share