
KUALA LUMPUR, 12 Sep 2025 – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menzahirkan rasa kesal terhadap kekecohan yang tercetus semasa operasi pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru hari ini, yang turut menyebabkan kecederaan kepada anggota polis dan orang awam.
Hamzah berkata, insiden itu sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa dan pemaju memilih untuk meneruskan perundingan berbanding melaksanakan pengosongan secara tergesa-gesa.
“Operasi pemilikan kosong sebenarnya boleh ditangguhkan kerana penduduk sudah pun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menegaskan bahawa himpunan penduduk bukan semata-mata bantahan terhadap pembangunan, tetapi melibatkan maruah serta hak mereka ke atas kediaman dan harta benda.
“Isu ini tidak boleh dipandang enteng. Ia mesti ditangani secara adil dengan memastikan aspek kebajikan, nilai kemanusiaan serta hak asasi rakyat dilindungi dan dihormati oleh semua pihak,” tegasnya.
Terdahulu, lebih 100 keluarga terlibat dalam operasi pengosongan selepas pemaju memperoleh perintah mahkamah Order 89 pada 20 Ogos lalu, yang membenarkan pengambilalihan rumah di kampung berkenaan. Bagaimanapun, penduduk telah memfailkan rayuan, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan.
Operasi hari ini menyaksikan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir bagi membantu pelaksanaan pengosongan. Kekecohan tercetus apabila sebahagian penduduk membantah tindakan tersebut, sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan.
Hamzah turut menyampaikan simpati kepada semua yang cedera dalam insiden berkenaan, dan menyeru kerajaan supaya mencari penyelesaian lebih berperikemanusiaan dalam menangani konflik pembangunan semula kampung bersejarah itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.