
KUALA LUMPUR, 27 DIS 25 — Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, bercuti dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini berikutan siasatan pihak berkuasa yang sedang dijalankan berhubung dakwaan tertentu melibatkan beliau.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah pentadbiran itu diambil untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa sebarang konflik kepentingan.
“Dalam masa yang sama, bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Khaled menegaskan keputusan itu adalah bersifat pentadbiran dan bertujuan memastikan proses siasatan berjalan lancar.
Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, yang dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada September 2023, kini akan menjalani cuti sehingga siasatan selesai.
Terdahulu, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pembela Tanah Air (PETA) mendakwa wujud amalan rasuah serius dalam perolehan melibatkan Tentera Darat Malaysia, termasuk dakwaan penguasaan tender oleh beberapa syarikat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pegawai kanan tinggi tentera.
Aktivis PETA, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berkata hasil pemerhatian terhadap transaksi kewangan mendapati terdapat pergerakan wang dalam akaun beberapa pegawai kanan yang disifatkan sebagai mencurigakan dan tidak selari. Laporan tersebut telah dibuat kepada Polis dan SPRM. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.