
KUALA LUMPUR, 10 DIS 25 — Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan menegur kerajaan kerana gagal membentuk identiti nasional yang utuh walaupun Malaysia sudah hampir tujuh dekad merdeka, menyifatkan pelaksanaan dasar kebudayaan negara masih longgar dan tidak berkesan.
Dalam ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, beliau berkata Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 masih belum memberikan kesan mendalam terhadap pembinaan jati diri bangsa Malaysia.
“Hampir tujuh dekad merdeka, namun kita masih gagal membina jati diri nasional yang kukuh. Kebudayaan ialah keseluruhan cara hidup masyarakat, bukan sekadar acara seni di pinggiran,” katanya.
Tambah beliau, walaupun dasar tersebut digubal untuk menjadi teras pembentukan negara bangsa, pelaksanaannya kabur dan tidak disokong dengan peruntukan mencukupi. Beliau menegaskan bahawa tanpa hala tuju kebudayaan yang jelas, generasi hari ini semakin jauh daripada akar budaya sendiri.
Beliau turut mengingatkan bahawa Tahun Melawat Malaysia 2026 hanya setahun lagi, tetapi negara masih belum mempunyai naratif budaya yang kuat untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa. Tambahnya, pembinaan identiti nasional yang lemah boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan daya saing negara.
Awang Sariyan menyeru kerajaan menambah peruntukan bagi pengisian kebudayaan serta menegakkan pelaksanaan DKK dan DAKEN secara konsisten dan terarah.
“Pembinaan identiti kebangsaan harus menjadi agenda utama negara jika Malaysia mahu bergerak sebagai sebuah bangsa yang matang, bersatu dan bermaruah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.