Dato’ Seri Hamzah Zainudin, hadir pada malam Sabtu 10 Mei di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. Kehadiran beliau juga meneruskan siri jelajah “RESET” ke seluruh negara sebelum berlangsungnya Konvensyen “RESET” yang dijangka berlangsung tidak berapa lama lagi.
“RESET” – Satu Gerakan
Hamzah tampil menghuraikan, “RESET” bukan gerakan eksklusif mana-mana parti politik, tapi adalah ‘calling movement’ – merupakan gerakan nasional.
Ia juga merupakan seruan kepada seluruh rakyat untuk melakukan perubahan. Gerakan “RESET” berupa ‘vehicle’ membawa amanat dan seruan perubahan – khasnya perubahan politik secara menyeluruh. Demi menyuntik kesedaran dalam memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara. Dengan kata lain membina semula jambatan kepercayaan antara rakyat dan pemimpin.
Bagaimana pun, “Konsensus Nasional Baharu” (KNB) merupakan naratif yang diperbaharui setelah beberapa kajian pensejarahan dilakukan oleh Ahli Parlimen Larut itu. Konsensus Nasional Baharu pertama kali telah diangkat oleh Hamzah Zainudin di satu forum, di ISEAS, Yusof Ishak Institute, Singapura pada Mei, 2025.
KNB dibina atas tiga tiang (pillars) atau teras iaitu Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama serta Tatakelola Adil & Berperikemanusiaan yang menjadi tunjang kepada usaha pembaharuan negara.
Selama ini, rakyat hidup dalam tekanan dan memikul beban kos sara hidup yang tinggi. Justeru, desakan tersebut berupa pembaharuan menyeluruh termasuk usaha mengembalikan maruah negara, dan memastikan keadilan dijabarkan ke semua lapisan masyarakat.
1. Matlamat Bersama (Common Goal)
Melakukan penyatuan hala tuju negara dengan dasar berasaskan kepentingan rakyat. Menolak politik kelompok dan elit dan menyediakan ruang pemuafakatan semua kaum untuk bersama menuju dan mencapai suatu matlamat yang sama; pembangunan bangsa dan negara bersama-sama. Semestinya wujud prinsip setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dalam soal-soal kepercayaan beragama, dsb.
2. Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity)
Melakukan pengagihan (perkongsian) ekonomi lebih seimbang untuk semua kaum. Mengurangkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar. Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, agar kekayaan negara dapat dinikmati semua lapisan masyarakat – lantas mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial antara strata kehidupan semua masyarakat di Malaysia. Justeru, setiap rakyat mesti mempunyai pekerjaan – jika ada wang di dalam kocek (money in the pocket), ada makanan, ada kediaman dan segala kemudahan pendidikan, kesihatan, dan sebagainya.
3. Tatakelola Adil & Berperikemanusiaan (Compassionate Governance)
Pentadbiran yang tulus dan telus. Mengutamakan integriti dalam urustadbir kerajaan. Setiap dasar termasuk undang-undang seharusnya berasaskan perikemanusiaan. Demi mengupayakan pemulihan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.
Secara tidak langsung melakukan usaha mereformasikan urus tadbir negara ke tahap lebih menyeluruh dan meyakinkan pelbagai lapisan rakyat. Ini juga menyangkuti urusan perundangan (judiciary) yang dilihat kurang adil terhadap rakyat – sebaliknya melebihkan pihak tertentu dan menindas pihak lain.
Hamzah menambah, perjuangan “RESET” adalah perjuangan jujur dan ikhlas untuk membantu dan memperjuangkan kebajikan rakyat. Kerajaan yang ada pada hari ini tidak benar-benar membantu golongan miskin dan tertindas sebaliknya mereka dipikulkan pelbagai beban kehidupan yang tidak lagi upaya ditanggung. Ini adalah kezaliman yang nyata dan tidak berperikmanusiaan.
Di sinilah tampilnya “RESET” bertanggungjawab dan berkorban menentukan masadepan agama, bangsa dan negara – juga Malaysia akan dihormati oleh warganya dan dipandang mulia di seluruh dunia, ujar Hamzah lagi.
Bagaimana pun, Hamzah menekankan kepentingan ‘bersatu’. Terlebih dahulu majoriti kaum Melayu mesti bersatu padu. Kalau majoriti tidak bersatu, negara tidak akan stabil. Bila politik dan sosial tidak stabil, ekonomi tidak boleh dimajukan. Beliau mengulangi apa yang telah disebutkan dalam program “RESET” yang terdahulu di Selangor.
“Kalau majoriti bangsa Melayu tidak bersatu, Malaysia tidak akan stabil. Apabila politik dan sosial tidak stabil, mustahil ekonomi dapat dimajukan,” Beliau yakin, bangsa Melayu sebagai kumpulan majoriti, jika upaya bersatu ini akan jadi pemangkin kepada keyakinan kaum-kaum lain untuk berganding bahu bersama-sama menentukan masa depan negara.
Hamzah bernada optimis, “Apabila majoriti kita sudah bersatu, kumpulan bukan Melayu akan lebih mudah memahami arah tuju dan matlamat untuk bergerak bersama membina negara.”
Gagasan Nasional
Sementara itu, Hamzah mengulangi beberapa saranan yang telah diutarakan dalam program ‘RESET” terdahulu, di mana semua parti politik perlu membentuk satu ‘gagasan nasional’ yang kukuh dengan berpaksikan matlamat bersama yang boleh diterima semua lapisan masyarakat.
Beliau menambah, negara memerlukan asas yang jelas dalam pembentukan matlamat bersama (common goal) yang upaya meyakinkan semua pihak, bagi memastikan hala tuju pembangunan negara dan ekonomi dapat dijana secara optimum dan kemajuan dicapai secara kolektif.
“Tetapi, matlamat bersama ini mesti sesuatu yang diyakini oleh semua orang. Bila semua kaum percaya, barulah Malaysia boleh berjaya,” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut seolah memberi isyarat bahawa perlunya penyatuan semua parti-parti politik Melayu demi membina asas kestabilan urustadbir negara dalam landskap geopolitik semasa, jelas menyaksikan perpecahan sokongan dikalangan parti-parti politik utama.
Justeru, perebutan kedudukan dan jawatan semestinya dielakkan demi memelihara imej dan maruah kepimpinan di mata rakyat.
Pendekatan itu juga mencerminkan pembaharuan usaha dan iltizam dalam perjuangan politik demi membina naratif yang lebih besar berteraskan integriti, sistem urustadbir bersepadu dan polisi kestabilan sebagai prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi dan keharmonian sosial.
Manakala kejujuran dan keikhlasan setiap pemimpin perlu dibuktikan melalui kaedah ‘baiah’. Ini merupakan janji peribadi mereka akan memikul tanggungjawab dengan ikhlas tanpa culas terhadap parti dan rakyat.
“RESET” Sudah Lengkap: Bakal Tercipta Sejarah
Jelas, slogan “RESET” perlu disambut dengan “MINDSET”; setiap ahli mesti merevolusikan mental agar lebih matang, berintegriti, moderat dan futuris.
Hamzah mengakhiri ucapan, “Kita sudah ada arkitek, jurutera, nakhoda dan bahtera..hanya menunggu waktu dan ketikanya sahaja akan berlayar menuju arah dan mencipta sejarah”.
Setiap perjuangan ada kesinambungan – pemimpin muda dihormati kerana ilmu pengetahuan dan pemimpin lama disegani kerana pengalaman.
Ramlee Wahab, Sri Gading
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.