Konsulat Malaysia di Dubai Pantau Situasi Keselamatan, Nasihat Rakyat Terus Berwaspada

KUALA LUMPUR | 5 Mac 26 – Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan situasi semasa di Dubai dan Emiriah Utara susulan ketegangan serantau yang sedang berlaku.

Menurut kenyataan rasmi konsulat itu, berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan, keadaan keselamatan di Dubai ketika ini adalah stabil dan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

Walaupun operasi komersial syarikat penerbangan masih belum kembali sepenuhnya, beberapa penerbangan telah mula beroperasi sekali gus memberi keutamaan kepada penumpang yang terkandas. Konsulat memaklumkan pihaknya sedang menyelaraskan usaha dengan syarikat penerbangan bagi meningkatkan kekerapan penerbangan ke Malaysia.

“Semua penumpang yang terkandas dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, konsulat turut mengambil maklum laporan daripada beberapa rakyat Malaysia bahawa walaupun kos penginapan hotel bagi penumpang terkandas telah diumumkan akan ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan, terdapat hotel yang masih mengenakan bayaran bagi lanjutan penginapan.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang terlibat dinasihatkan supaya membuat pengesahan terus dengan pihak hotel serta syarikat penerbangan masing-masing sebelum membuat sebarang pembayaran.

Rakyat Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara juga digesa untuk terus berwaspada, mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu serta konsulat, dan membuat perancangan sewajarnya sekiranya perlu melanjutkan tempoh penginapan termasuk mempertimbangkan pilihan penginapan alternatif yang lebih berpatutan.

Bagi sebarang bantuan konsular atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai melalui talian +971 4 398 5843 / 5847 (waktu pejabat) atau talian kecemasan +971 50 737 9196. Pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel ke dxb.cons@kln.gov.my atau mwdubai@kln.gov.my @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share