
KUALA LUMPUR | 31 Julai 26 – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, mempersoalkan percanggahan antara laporan audit Jabatan Audit Negara dengan audit yang dijalankan oleh pihak swasta berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji bagi tahun 2017.
Menurut beliau, Tabung Haji telah mengumumkan keuntungan sebanyak RM3.412 bilion selepas zakat bagi tahun berkenaan dan angka tersebut telah diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara.
Bagaimanapun, beliau berkata audit yang dijalankan oleh pihak swasta bagi tempoh yang sama pula mendapati Tabung Haji mengalami kerugian sebanyak RM4.1 bilion.
“Pada tahun 2017, Tabung Haji telah diumumkan untung sebanyak RM3.412 bilion selepas zakat dan angka ini telah diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara yang mana Tabung Haji ialah badan berkanun dan tertakluk kepada audit Jabatan Audit Negara. Bila mana pihak swasta yang dilantik pula menjalankan audit, maka Tabung Haji pada tahun 2017 yang sama telah dikatakan rugi sebanyak RM4.1 bilion,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Akmal turut membangkitkan beberapa persoalan berkaitan kredibiliti kedua-dua proses audit tersebut, termasuk sama ada rakyat perlu mempercayai dapatan audit Jabatan Audit Negara atau audit yang dijalankan oleh pihak swasta.
Beliau juga mempersoalkan sama ada kredibiliti Jabatan Audit Negara boleh dipertikaikan sekiranya dapatan audit swasta diterima sebagai rujukan utama.
“Jika audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara itu salah dan menyeleweng, maka bolehkah kita percaya dengan semua audit yang dijalankan ke atas semua badan berkanun kerajaan dalam negara kita?
“Jika Jabatan Audit Negara melakukan audit dengan betul, sejauh mana pula kredibiliti audit swasta boleh kita percaya?” soalnya.
Sehubungan itu, Akmal meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Kewangan tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Isu berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji kembali menjadi perhatian selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu didedahkan kepada umum baru-baru ini.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.