KPM Akan Laksana Kaedah ‘Co-Teaching’ Mula Sesi 2027

KUALA LUMPUR, 8 NOV 25 — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memulakan kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ bersama dua guru dalam satu kelas bermula sesi Kurikulum Persekolahan 2027.

Memetik laporan BH, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, kaedah itu adalah bagi mencapai keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.

Menurutnya, ia akan membabitkan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada Tahap I.

Fadhlina berkata, ia dilihat sejajar dengan matlamat KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan saja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga memiliki jati diri kukuh, berdisiplin, beradab dan bernilai moral tinggi.

Katanya, kaedah ‘co-teaching’ dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif ketika sesi pembelajaran.

Beliau berkata, pendekatan itu antara pembaharuan utama dalam pelaksanaan kurikulum baharu bagi pelaksanaan pembelajaran bersepadu, iaitu gabungan pelbagai disiplin ilmu yang diajar secara gabung jalin.

“KPM melaksanakan uji rintis untuk kaedah ini kepada 130 guru dan menerima maklum balas positif terhadap pembaharuan dalam pendidikan negara.

“Dalam kaedah pengajaran berpasukan dua guru bekerjasama dalam satu kelas secara serentak, bukannya seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar yang memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat murid.

“Pengajaran berpasukan menyokong elemen pelbagai disiplin ilmu iaitu dua orang guru akan saling melengkapi dalam perancangan dan penyampaian PdP di dalam kelas.

“Kita yakin kaedah ‘co-teaching’ membabitkan interaksi aktif dalam kelas ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus dapat mengatasi masalah keciciran pembelajaran.

“Selain itu, berbeza dengan kurikulum lama yang menekankan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu ini nanti juga menuntut semua guru sama ada Sains, Bahasa Inggeris, Matematik atau subjek lain mengintegrasikan nilai dan karakter dalam pengajaran masing-masing,” katanya. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share