Pengerusi PN: PAS Terbuka Sokong Mana-mana Pemimpin Diputuskan Pusat

KUALA LUMPUR | 12 Jan 26 — Parti Islam SeMalaysia (PAS) menegaskan kesediaannya untuk menyokong mana-mana tokoh yang diputuskan oleh pimpinan pusat parti untuk menerajui Perikatan Nasional (PN), tanpa mengira identiti individu tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Halim Tamuri, berkata dalam konteks PAS dan gabungan PN, terdapat ramai pemimpin yang layak memegang jawatan tertinggi dan isu siapa individu dipilih bukanlah perkara utama. Keutamaan PAS adalah kepada keputusan kolektif parti yang dibuat melalui pimpinan tertinggi dan Jawatankuasa PAS Pusat.

“Dalam PN ini semua layak — presiden, timbalan presiden, naib presiden, dan dalam PAS sendiri semua calon berpotensi untuk menjadi pemimpin Perikatan Nasional,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsikan.

Halim menegaskan asas perjuangan PAS adalah ketaatan kepada keputusan pimpinan pusat, dan ahli parti akan taat dan patuh kepada siapa sahaja yang dilantik melalui proses parti, termasuk sekiranya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dipilih sebagai pengerusi baru PN.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PAS mempunyai barisan kepimpinan yang berkualiti dan berwibawa untuk menerajui masa depan politik negara, dan keputusan mengenai pemimpin PN akan diperhatikan oleh rakyat Malaysia.

Teka-teki pengerusi PN yang baharu hanya akan diketahui selepas Majlis Tertinggi PN mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin. Ia dijangka berlaku dalam waktu terdekat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share