
KUALA LUMPUR, 23 NOV 25 — Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa setiap penjawat awam perlu mengekalkan prinsip neutraliti, profesionalisme dan integriti ketika melaksanakan tugas rasmi, selaras dengan etika perkhidmatan awam.
Dalam satu peringatan yang dipaparkan menerusi facebook, Unit Integriti KPM berkata sikap tersebut merupakan asas utama untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan serta memastikan segala urusan perkhidmatan dilaksanakan secara adil, telus dan bebas daripada kepentingan mana-mana pihak.
Menurut kenyataan itu, pegawai kerajaan dilarang melibatkan diri dalam apa jua bentuk aktiviti politik yang boleh menjejaskan objektiviti atau integriti tugas. Larangan tersebut merangkumi tindakan membuat kenyataan berat sebelah, menyatakan sokongan kepada mana-mana parti atau calon, serta memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan politik.
Unit Integriti KPM turut menegaskan bahawa pematuhan kepada garis panduan ini adalah penting bagi menjaga maruah penjawat awam sendiri selain memelihara imej serta kredibiliti kementerian di mata masyarakat.
Kenyataan itu sekali lagi mengingatkan bahawa perkhidmatan awam berperanan sebagai institusi neutral yang wajib memberikan perkhidmatan kepada seluruh rakyat tanpa dipengaruhi kecenderungan politik individu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.