‘KPT Lembap Seperti Kura-kura’: Kenyataan Kor Ming Tidak Bertanggungjawab – Zambry

PUTRAJAYA, |11 Julai 26 – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang melabelkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai “lembap seperti kura-kura” berhubung pelaksanaan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam sebagai tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan media hari ini, Zambry berkata kritikan terbuka itu bukan sahaja tidak wajar, malah bertentangan dengan prinsip tanggungjawab kolektif yang menjadi asas kepada setiap keputusan Jemaah Menteri.

Beliau menegaskan bahawa semua keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri merupakan keputusan bersama dan akan disusuli dengan tindakan serta penyelarasan melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pelbagai agensi berkaitan.

“Setiap keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri merupakan keputusan bersama yang berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility),” katanya.

Menurut beliau, sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Kabinet, perkara itu seharusnya dibincangkan di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan tatakelola pentadbiran kerajaan.

“Tempat untuk membincangkan perbezaan pandangan ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” tegasnya.

Kenyataan Zambry dipercayai merujuk kepada kritikan terbuka Nga Kor Ming yang mendakwa KPT bertindak “lembap seperti kura-kura” dalam melaksanakan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam.

Pertikaman lidah terbuka antara dua anggota Kabinet itu dilihat mencetuskan persoalan mengenai pematuhan terhadap prinsip tanggungjawab bersama dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, khususnya apabila melibatkan keputusan yang telah dipersetujui Jemaah Menteri.

Semalam, media Sin Chew Daily melaporkan Nga Kor Ming mengkritik kelewatan pelaksanaan keputusan berhubung laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam dengan menggunakan peribahasa Cina “老乌龟拉牛” (lǎo wūguī lā niú), yang secara harfiah bermaksud “kura-kura tua menarik lembu”, ia sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.Nga dilapor membuat dakwaan itu ketika berceramah di Kampung Abdullah, Segamat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share