
KUALA LUMPUR | 27 Mac 26 – Kenaikan mendadak harga diesel sehingga RM5.52 seliter dan pengurangan kuota subsidi RON95 kepada 200 liter sebulan dalam tempoh 24 jam, menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat dan sektor kritikal negara, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pesawah padi.
Dalam satu kenyataan media, Dr. Ronald Kiandee, Pengerusi Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Pembangkang, menegaskan tindakan kerajaan itu menunjukkan kepimpinan negara hilang arah dalam menguruskan krisis tenaga.
“Meskipun konflik di rantau Teluk telah berlarutan hampir sebulan, kerajaan masih gagal mengemukakan Pelan Kontijensi Nasional yang menyeluruh. Sebaliknya, tindakan kerajaan dilihat reaktif – termasuk membenarkan kenaikan harga minyak secara mendadak sehingga ke paras tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.
Menurut Dr. Ronald, akibat kenaikan harga diesel, kos operasi PKS makanan meningkat sehingga 30 peratus, pengusaha bas ekspres berdepan risiko gulung tikar, manakala pesawah kini menanggung kos membajak, menuai, dan mengepam air yang melambung berkali ganda. Malah, mereka turut hilang manfaat Insentif Tunai RM600 sejak dua musim lalu.
Situasi ini telah menunda penanaman padi musim baru di beberapa kawasan, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan makanan negara, isu yang sebelum ini turut dibangkitkan Ketua Pembangkang.
“Hakikatnya, amaran pengeluar makanan bahawa mereka ‘tidak dapat bertahan lama’ dan ketidaktentuan nasib pesawah menunjukkan krisis tenaga kini sedang berkembang dan boleh bertukar menjadi krisis bekalan makanan pula,” tegas Dr. Ronald.
Beliau menggesa kerajaan agar menerima cadangan blok pembangkang, termasuk penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara, pembentangan Pelan Kontijensi Nasional, dan diadakannya Sidang Khas Parlimen.
“Ini langkah terbaik untuk mencari penyelesaian bersama demi rakyat dan negara,” tambah beliau.
Kenyataan ini mencerminkan ketegangan meningkat antara kerajaan dan sektor pertanian serta pengeluar makanan, sekali gus menekankan bahawa krisis tenaga kini bukan sekadar isu harga minyak, tetapi isu strategik dan sosial yang menjejaskan kehidupan rakyat di peringkat akar umbi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.