
KUALA LUMPUR, 8 Jul 25 – Mereka yang mengkritik lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara itu sebagai ‘jalan-jalan’ adalah cerminan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia terhadap rakyat Malaysia, kata Setiausaha Politiknya Farhan Fauzi .
“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh.
“Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS.
“Hakikatnya, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara,” katanya, dalam hantaran Facebook.
Langkah proaktif Malaysia itu katanya telah membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang telah diluluskan, iaitu sebanyak 14.9% dengan nilai berjumlah RM378 bilion serta prestasi perdagangan yang mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2% pada tahun 2024.
Pendekatan proaktif itu katanya amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130%.
“Sebaliknya, semasa era pentadbiran gerombolan mereka, citra negara tidak terkehadapan. Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara.
“Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan Madani memandu negara kita,” katanya lagi.
Kelompok berminda kecil itu katanya perlu sedar rakyat tidak mudah percaya dengan persepsi yang mereka tonjolkan.
“Nasihat saya kepada tokoh-tokoh berminda kecil di dalam blok pembangkang ialah fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik. Ini kerana, rakyat tidak berminda seperti anda. Apatah lagi untuk diperdaya agar termakan dengan permainan herotan persepsi,” tambahnya.
“Rakyat lebih bijak menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian dan bermain ‘politik tanpa hikmah’.” @politiko.my