PAS Digesa Tolak Azmin, Isu Moral Dikhuatiri Jadi “Bom Masa Politik”

SHAH ALAM | 1 Mei 26 – Desakan supaya PAS Selangor menolak pencalonan Azmin Ali sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor kembali mendapat perhatian apabila saranan tersebut, terkait dengan isu moral dan persepsi awam terhadap bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Penyelaras RESET Selangor, Dato’ Suhaimi Mohd Ghazali, memberi amaran bahawa pelantikan Azmin berpotensi membuka ruang kepada serangan politik berterusan, khususnya berkaitan dakwaan lama yang pernah dikaitkan dengan kontroversi video Sandakan.

Menurutnya, mengekalkan Azmin di jawatan utama PN Selangor bukan sahaja akan mengundang semula polemik, malah boleh menjadi “peluru berulang” yang digunakan lawan politik untuk menyerang imej gabungan berkenaan.

“Jika beliau dikekalkan, isu itu tidak akan berhenti. Ia akan terus dimainkan. Adakah PAS sanggup dilihat mempertahankan naratif itu?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar serangan politik biasa, sebaliknya menyentuh aspek persepsi moral yang boleh memberi kesan langsung kepada imej PN Selangor, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar.

Dalam nada lebih tegas, beliau mempersoalkan pendirian PAS sekiranya memilih untuk terus menerima Azmin sebagai pengerusi, sedangkan parti itu sering menekankan agenda akhlak dalam politik.

“Kalau PN benar-benar mahu tampil dengan politik baharu yang matang dan sejahtera, isu akhlak tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.

Suhaimi turut mengingatkan bahawa Azmin sendiri pernah melepaskan jawatan Pengerusi PN Selangor sebelum ini, sekali gus membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang menurutnya lebih “bersih daripada polemik”.

Beliau mendakwa PN Selangor masih mempunyai beberapa tokoh lain yang lebih sesuai dan tidak dibayangi kontroversi, namun tidak menamakan individu terbabit.

Kenyataan itu dijangka terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pimpinan PN Selangor, khususnya membabitkan keseimbangan antara strategi politik dan risiko reputasi menjelang persaingan politik yang semakin sengit di negeri berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share