Malaysia Perlu Pemimpin Korporat Untuk RESET Ekonomi Negara – Mantan MP

KUALA LUMPUR | 3 Jun 26 – Malaysia memerlukan pendekatan baharu dalam mengurus ekonomi negara, termasuk memberi peluang kepada pemimpin yang mempunyai latar belakang korporat untuk menerajui usaha pemulihan dan pembaharuan ekonomi, kata bekas Ahli Parlimen PKR, Tan Tee Beng.

Dalam wawancara bersama politiko, Tan Tee Beng berkata, selepas beberapa tahun pentadbiran Kerajaan Madani, rakyat dan sektor perniagaan masih berdepan pelbagai cabaran termasuk kos operasi yang meningkat, tekanan ekonomi serta ketidaktentuan masa depan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta perusahaan sederhana (SMI).

“Ramai dalam sektor korporat dan perniagaan berpendapat ekonomi negara masih belum mempunyai hala tuju yang benar-benar mampan untuk menjana pertumbuhan jangka panjang.

“Golongan SME dan SMI merupakan tulang belakang ekonomi negara. Jika mereka tidak dibantu untuk berkembang, kesannya akan dirasai oleh pekerja dan keluarga mereka di seluruh negara,” katanya.

Tee Beng berkata, tumpuan terhadap pembangunan SME dan SMI perlu menjadi agenda utama kerana sektor tersebut menyediakan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat serta memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi domestik.

Beliau turut menyifatkan Pengerusi Gerakan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai antara pemimpin yang mempunyai pengalaman korporat dan memahami cabaran sebenar dunia perniagaan.

“Hamzah datang daripada latar belakang korporat. Beliau memahami bagaimana ekonomi berfungsi, bagaimana syarikat berkembang dan bagaimana peluang pekerjaan diwujudkan.

“Sudah tiba masanya negara mempertimbangkan pendekatan baharu dalam pentadbiran ekonomi, termasuk melihat bagaimana pengalaman korporat boleh diterjemahkan kepada dasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai gagasan Reset, Tee Beng berkata konsep tersebut menawarkan pendekatan yang lebih dekat dengan keperluan rakyat berbanding slogan-slogan politik yang sering diulang sejak sekian lama.

Katanya, ramai pihak bercakap mengenai reformasi dan perubahan, namun rakyat masih menunggu hasil yang benar-benar dapat dirasai dalam kehidupan harian mereka.

“Reset bukan sekadar pertukaran kerajaan atau pemimpin. Reset adalah usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap ekonomi, memastikan peluang diwujudkan untuk semua dan mewujudkan suasana yang membolehkan rakyat hidup dengan lebih selesa.

“Apabila rakyat mempunyai pekerjaan, pendapatan yang stabil dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup, banyak masalah lain akan dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.

Beliau percaya agenda Reset mampu menjadi platform untuk mengembalikan fokus negara kepada isu-isu asas yang dekat dengan rakyat seperti peluang ekonomi, pekerjaan, pendapatan dan perkongsian kemakmuran yang lebih menyeluruh.

Wawancara tersebut boleh ditonton di sini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share