
KUALA LUMPUR, 16 NOV 25 — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan mengesahkan seramai 596 calon telah diterima untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bagi kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dari jumlah tersebut, calon bebas menjadi kumpulan paling ramai dengan 74 calon, diikuti oleh Parti Warisan (73 calon), Parti Impian Sabah (PIS – 72 calon), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS – 55 calon).
Calon lain terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR – 46 calon), Barisan Nasional (BN – 45 calon), Perikatan Nasional (PN – 42 calon) dan Pakatan Harapan (PH – 22 calon).
Parti lain yang turut meletakkan calon antaraya Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), UPKO, Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Kerjasama Anak Negeri, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Rumpun Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Damai Sabah (SPP), Perjuangan Rakyat, Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS), Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.
Selain daripada itu, calon tertua direkodkan adalah Thomas Anggan (86 tahun) dari PKS di DUN Bingkor. Manakala calon termuda pula Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (24 tahun), juga dari PKS. Daripada 596 calon, 525 adalah lelaki dan 71 wanita.
Tempoh berkempen bermula sebaik pengisytiharan calon dan berakhir pada 28 November 2025, jam 11.59 malam.
SPR menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau aktiviti calon sepanjang kempen.
Hari mengundi ditetapkan pada 29 November 2025, manakala pengundian awal adalah pada 25 November 2025. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.