
KUALA LUMPUR, 22 Jul 25 – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis dan Itali bukanlah rawatan rasmi penuh sebaliknya persinggahan sebelum menghadiri sidang BRICS di Rio de Janeiro, Brazil.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan kononnya lawatan Anwar baru-baru ini tidak mendapat sambutan selayaknya sebagai Pengerusi Asean 2025, sebaliknya lawatan itu katanya memenuhi jemputan kerajaan dua negara itu.
“Kami di pihak Wisma Putra sebenarnya menerima jemputan daripada dua negara, iaitu Itali dan Perancis, yang telah lama menjemput Perdana Menteri ke sana. Maka, dalam perjalanan ke Brazil, kami mengambil peluang untuk singgah ke Perancis.
“Ia bukanlah lawatan rasmi sepenuhnya. Jika lawatan rasmi, sudah tentu perjalanan terus diatur ke negara berkenaan.
“Dalam hal ini, ia lebih kepada singgah, namun perdana menteri tetap menerima penghormatan rasmi termasuk pemeriksaan barisan kehormatan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan tahap protokol sambutan terhadap Anwar sebagai Pengerusi ASEAN berbanding sambutan terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Kunjungan itu kata Mohamad tetap membawa makna penting kerana Anwar telah mengadakan perbincangan dua hala bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Situasi yang sama turut berlaku semasa persinggahan di Itali.
“Sekiranya pada masa akan datang kita mengadakan lawatan rasmi ke Perancis, saya yakin sambutan yang akan diberikan adalah setaraf dengan negara-negara lain yang pernah menerima lawatan rasmi Malaysia,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.