
KUALA LUMPUR, 31 Ogos 25 – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa erti kemerdekaan tidak boleh sekadar dikenang dalam lipatan sejarah, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan rakyat yang aman, makmur dan bermaruah.
Dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Ke-68, Muhyiddin mengingatkan bahawa nikmat kemerdekaan hari ini lahir daripada perjuangan serta pengorbanan pejuang bangsa yang menentang penjajah, selain kepimpinan terdahulu yang meletakkan asas pembangunan negara.
“Jasa mereka kekal terpahat dalam lipatan sejarah dan menjadi inspirasi kepada generasi hari ini. Namun, kemerdekaan sejati adalah apabila rakyat tidak lagi terikat oleh kemiskinan, kesusahan atau ketidakadilan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengisi kemerdekaan dengan tekad membina Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi, maju dan sejahtera.
“Semoga semangat kemerdekaan terus membakar jiwa kita untuk mempertahankan tanah air yang kita cintai ini,” ujar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.