London Boleh, Dubai Tidak: Mahkamah ‘Potong’ Pit Stop Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 19 NOV 25 – Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur meluluskan permohonan sementara bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, untuk memiliki pasport antarabangsa bagi membolehkan beliau ke United Kingdom menjalani pemeriksaan susulan penyakit kanser pankreas dan menghabiskan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan beliau untuk mengambil peluang transit selama enam hari di Dubai sebelum ke London, kata hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Hakim Noor Ruwena menyatakan bahawa berdasarkan afidavit sokongan yang dikemukakan, beliau tidak menemui justifikasi untuk tempoh transit di Dubai selama lima hingga enam hari. Beliau menambah bahawa transit selama satu atau dua hari dianggap munasabah, tetapi tempoh yang lebih lama tidak diterima.

Beliau turut menegur Muhyiddin kerana telah menempah tiket penerbangan terlebih dahulu sebelum mendapatkan kebenaran mahkamah.

Pihak pendakwaan, melalui Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, tidak membantah niat untuk rawatan susulan di UK, namun memohon agar tempoh perjalanan dipendekkan hingga 20 Disember 2025.

Mahkamah kemudian menetapkan bahawa pasport sementara dipulangkan kepada peguam pada 8 Disember 2025 dan perlu dikembalikan kepada mahkamah selewat-lewatnya 5 Januari 2026.

Muhyiddin sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan berkaitan projek ‎Jana Wibawa, termasuk tuduhan menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima wang daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Adlan Berhan, yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Adlan, yang juga menantu kepada Muhyiddin Yassin, dikehendaki oleh SPRM bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.

Pada Oktober lalu, kerajaan memaklumkan pasport antarabangsa beliau dibatalkan oleh Jabatan Imigresen atas permintaan SPRM berkaitan siasatan kes rasuah dan penyelewengan projek biometrik pekerja asing.

KDN sahkan tindakan ikut prosedur dan kini bekerjasama dengan PDRM serta Imigresen untuk memudahkan proses membawa pulang individu berkenaan bagi siasatan lanjut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

ART Satu Perangkap Diplomatik – Kata MP PN

“Ini bukan sekadar isu teknikal. Ini soal maruah dan masa depan dasar Bumiputera. Frasa ‘sovereign interests’ digugurkan dan diganti dengan istilah longgar seperti ‘goodwill’ serta ‘shared commitment’. Itu tanda kita sudah tunduk,” tegas Ahmad Amzad
Read More
Total
0
Share