
KUALA LUMPUR, 28 APR 25 – Krisis dalaman Bersatu Perak tidak berkaitan dengan kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, baru-baru ini, kata Datuk Seri Azmin Ali.
Setiausaha Agung Bersatu berkata, ketika PRK itu juga ia menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi antara komponen PN dari Bersatu dan PAS.
“Tidak ada…saya dengan (Ketua Bersatu Perak Datuk Seri) Ahmad Faizal Azumu bincang panjang, ini satu proses biasa yang tidak menimbulkan sebarang masalah, ini masa yang cukup baik untuk PN, terbukti di Ayer Kuning PAS dan Bersatu tunjuk gabungan mantap sehingga berjaya catat prestasi yang baik,” katanya, ketika ditemui di majlis rumah terbuka DUN Jeram, Kuala Selangor malam tadi.
Keputusan PRK itu juga katanya menunjukkan Bersatu masih menjadi pilihan rakyat.
“Kita terima keputusan dibuat rakyat dalam sistem demokrasi, kita berusaha, alhamdulillah walaupun kita tak melepasi satu jumlah tetapi sokongan itu mantap kita lihat keyakinan rakyat terhadap PN antara parti yang mempunyai potensi dan masa depan,” kata Azmin.
Krisis Bersatu di Perak berlarutan selepas beberapa Adun dan ketua bahagian Bersatu negeri dilaporkan tidak berpuas hati dengan Ahmad Faizal dengan tindakannya menghantar surat kepada DUN meminta Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin menukar kerusi dengan Adun Changkat Jong Nadziruddin Bandi, yang dakwa mereka dibuat tanpa perbincangan.
Krisis itu turut memaksa Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin campur tangan sekaligus mencetus dakwaan kredibiliti Ahmad Faizal, atau Peja yang juga bekas menteri besar Perak itu dipersoalkan.
Calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir menang PRK DUN Ayer Kuning, Perak dengan majoriti 5,006 undi, keputusan rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.
Mohamad Yusri yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi calon PN Abdul Muhaimin yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon PSM, Bawani KS mendapat 1,106 undi. @politiko.my