
KUALA LUMPUR | 14 Apr 26 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa ancaman untuk memusnahkan sesebuah tamadun lama sebenarnya mencerminkan tahap “ketidakbertamadunan” pihak yang membuat ancaman tersebut.
Dalam kenyataan yang kini kembali tular, beliau merujuk kepada situasi global di mana terdapat ancaman untuk memusnahkan tamadun yang berusia ribuan tahun, sedangkan tamadun moden hanya berusia ratusan tahun.
Menurut beliau, sejarah peradaban manusia menunjukkan bahawa masyarakat bertamadun lazimnya menghormati dan memelihara peninggalan tamadun lama sebagai sebahagian daripada warisan dunia.
“Dalam sejarah tamadun manusia, terdapat budaya yang menghormati tamadun lama. Apa yang lama sepatutnya dipelihara. Pemusnahan tinggalan sejarah mencerminkan kualiti tamadun yang lemah,” katanya.
Mahathir turut menegaskan bahawa sebarang cadangan untuk memusnahkan tamadun berusia ribuan tahun menggambarkan sikap tidak menghormati sejarah dan warisan manusia.
Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai gambaran kepada tahap pemikiran pihak yang mengemukakan ancaman tersebut, bukan kepada tamadun yang ingin dimusnahkan.
“Jelas, ancaman untuk memusnahkan sepenuhnya tamadun lama memperlihatkan tahap ketamadunan pihak yang membuat ancaman itu sendiri,” katanya.
Kenyataan itu ditutup dengan penegasan bahawa pihak yang mencadangkan pemusnahan warisan lama sebenarnya memperlihatkan diri mereka sebagai “tidak bertamadun”. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.