Mahathir Tuntut Puad Mohon Maaf Secara Terbuka

KUALA LUMPUR, 18 Apr 25 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan surat tuntutan undang-undang (Letter of Demand -LOD) terhadap ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, berhubung tuduhan beliau menghalang pemindahan sebidang tanah yang dipegang atas nama amanah parti itu.

Tuntutan tersebut dibuat menerusi peguamnya, Rafique Rashid.

Menurt Rafique, surat tuntutan itu menuntut Puad membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mahathir di hadapan media arus perdana dan media sosial.

“Mohd Puad Zarkashi hendaklah mengadakan satu sidang media terbuka di bangunan Umno dengan jemputan media arus perdana serta media sosial dan membuat pengakuan bahawa penulisan dan/atau penerbitan fitnah tersebut adalah kesilapannya.

“Dalam sidang media itu juga Mohd Puad Zarkashi hendaklah menyatakan bahawa penulisan fitnah tersebut jelas menuduh Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang pecah amanah dan perkara itu tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Surat tuntutan itu turut menuntut agar Puad mengemukakan permohonan maaf secara bertulis dan tanpa syarat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis tersebut dikeluarkan hari ini.

Puad juga diminta memberi jaminan dia atau mana-mana pihak yang bertindak bagi pihaknya tidak akan mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan reputasi atau integriti Mahathir, tertakluk kepada persetujuan Mahathir sendiri.

“Dr Mahathir merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan sesuai manfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” tambah Rafique.

Tuntutan tersebut berkaitan maklum balas terhadap hantaran Facebook Puad bertarikh 12 April bertajuk “Tun M mesti pulangkan harta Umno.”

Ini susulan laporan media pada 10 April bahawa Umno memfailkan saman untuk memaksa Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan melaksanakan pemindahan hak milik sebidang tanah kepada parti itu. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share