
PUTRAJAYA | 22 Jan 26— Sekumpulan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengemukakan aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), mendesak siasatan dibuat terhadap proses pemecatan mereka yang didakwa bercanggah dengan perlembagaan parti.
Mantan Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustaffa, berkata mereka tidak mempertikaikan hak parti untuk mengambil tindakan disiplin, sebaliknya mempersoalkan prosedur pemecatan yang didakwa dibuat secara serta-merta tanpa melalui saluran rayuan yang diperuntukkan dalam perlembagaan Bersatu.
“Kalau ikut perlembagaan parti, pemecatan tidak berlaku serta-merta kerana masih ada ruang rayuan kepada Lembaga Rayuan. Namun dalam kes kami, pemecatan dibuat terus dan nama kami dikeluarkan daripada senarai keahlian,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat aduan di pejabat ROS, hari ini.
Menurut Mohd Shukor, tindakan tersebut seolah-olah menafikan hak rayuan bekas ahli yang terlibat, walaupun peruntukan berkenaan jelas termaktub dalam perlembagaan parti.
Beliau turut mendakwa kesalahan yang dikaitkan dengan mereka bukanlah bersifat serius dan masih boleh diperbetulkan melalui mekanisme dalaman parti, namun tindakan yang diambil dilihat tidak seimbang dan menimbulkan persoalan mengenai keadilan tatakelola parti.
Sementara itu, mantan Ketua Bahagian Pengerang, Mohd Faizal Asmar, mempersoalkan percanggahan dalam surat pemecatan yang diterima, apabila rayuan dibenarkan dalam tempoh 14 hari tetapi status keahlian mereka telah dibatalkan lebih awal.
“Kalau surat kata boleh buat rayuan dalam 14 hari, kenapa nama kami sudah dikeluarkan daripada keahlian? Kalau masih ada rayuan, maknanya kami masih ahli. Ini yang nampak pelik,” katanya.
Kesemua mantan Ketua Bahagian terbabit berharap ROS menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan pematuhan perlembagaan parti serta prinsip keadilan dalam pengurusan disiplin parti politik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.