
KUALA LUMPUR, 8 NOV 25 – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, mendedahkan bahawa wakil rakyat tidak pernah diberikan akses kepada draf Perjanjian Timbal Balas Tarif Amerika (ART) sebelum ia ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurutnya, semasa sesi penerangan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tiada satu pun draf perjanjian diedarkan atau ditunjukkan, sebaliknya hanya pembentangan statistik perdagangan dan isu umum.
“Sesi itu bukan membincangkan kandungan draf perjanjian. Tidak ada satu keping pun kertas draf diedarkan, malah dalam slaid pun tidak ditunjukkan,” tegasnya.
Ahmad Amzad menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mempersoalkan isu seperti pembelian tambahan 30 pesawat oleh Malaysia Airlines (MAS) dan persijilan halal JAKIM, namun tiada jawapan jelas diberikan.
Beliau menegaskan, masalah sebenar terletak pada ayat-ayat spesifik dalam perjanjian ART yang kini dipertikai pengamal undang-undang sebagai berpotensi menghakis kedaulatan dan kebebasan Malaysia membuat keputusan sendiri.
“Kalau draf tak pernah ditunjukkan, bagaimana Ahli Parlimen PN nak beri pandangan? Ini bukan libat urus sebenar, tapi sekadar formaliti,” katanya.
Ahmad Amzad turut menuduh Kerajaan Madani sering menggunakan istilah “libat urus” untuk menunjukkan kononnya proses telus, sedangkan pandangan pelbagai pihak tidak dimasukkan ke dalam dasar akhir.
“Yang dilapor cuma berapa kali sudah buat libat urus dan berapa kumpulan ditemui. Tapi isi penting dan pandangan wakil rakyat hilang entah ke mana. Inilah penyakit besar pentadbiran Madani,” tegas beliau. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.