
KUALA LUMPUR, 18 JUN 25 – Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan berdiam diri dan membisu susulan ketegangan yang berlaku di Asia Barat kerana ia berisiko mengheret ke kancah peperangan lebih besar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas perdana menteri berkata, selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pengerusi Asean 2025, Malaysia tidak boleh berdiam diri tetapi mesti tampil memimpin memecah kebisuan antarabangsa atas ketegangan yang berlaku antara Iran dan Israel serta keganasan di Gaza.
“Saya menggesa kerajaan Malaysia memanggil sidang khas Asean-OIC untuk merumuskan langkah segera: gencatan senjata menyeluruh di Gaza dan di antara Israel dan Iran, akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan, sokongan terhadap siasatan bebas jenayah perang dan dorongan diplomasi tuntas ke arah penyelesaian adil berteraskan hak asasi rakyat Palestin.
“Malaysia mesti menjadi suara yang memecah kebisuan antarabangsa,” tegas Muhyiddin, dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, konflik di Asia Barat itu berupaya menjejaskan kestabilan global dan memberi kesan kepada Malaysia jika tidak ditangani.
“Kebiadaban Israel mesti dihentikan segera. Jika tidak dibendung, kesannya akan menjangkau jauh melampaui Timur Tengah, menggugat kestabilan global,” katanya.
Tambahnya, kepemimpinan dari dunia Islam amat diperlukan ketika ini berikutan kegagalan dunia Islam dalam memimpin usaha menamatkan kezaliman yang sedang berlaku di rantau berkenaan.
“Namun realitinya, kita sedang menyaksikan kelompongan kepimpinan yang membimbangkan, satu kekosongan moral dan strategik yang melumpuhkan usaha kolektif untuk menegakkan keadilan.
“Kepimpinan dunia Islam amat ditagih pada saat genting ini,” kata Muhyiddin. @politiko.my