Tahanan Sukarelawan GSF: Ketua Pembangkang Desak OIC, PBB dan ASEAN Bertindak

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN mengambil tindakan tegas menghukum Israel susulan insiden pemintasan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) oleh rejim Zionis.

Beliau menegaskan dunia tidak boleh lagi sekadar mengeluarkan resolusi tanpa tindakan, sebaliknya mesti bersatu menuntut keadilan terhadap rakyat Palestin dan melindungi aktivis antarabangsa yang ditahan Israel.

“Kerajaan Malaysia perlu mendesak OIC, PBB, ASEAN, Kesatuan Eropah serta NAM menghukum Israel – bukan lagi sekadar kenyataan politik atau resolusi kosong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah menyifatkan tindakan Israel memintas flotila kemanusiaan itu sebagai “jenayah serta pencabulan terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa” yang wajib dikecam oleh seluruh dunia.

Katanya, krisis Palestin merupakan tragedi kemanusiaan terbesar zaman moden dan jenayah yang dilakukan Israel mesti diadili di bawah undang-undang antarabangsa.

“Rejim Netanyahu bukan sahaja zalim terhadap Palestin, malah telah menghina usaha kemanusiaan global dengan menahan aktivis yang membawa bantuan,” tegasnya.

Hamzah menambah, kerajaan Malaysia juga perlu memastikan keselamatan aktivis rakyat Malaysia dan antarabangsa dalam misi flotila itu terjamin serta dibawa pulang dengan selamat.

Sehingga kini, disahkan sebanyak 3 buah kapal dan sukarelawan telah ditahan oleh tentera Israel ketika flotili ini memasuki Zon Kuning perairan antarabangsa. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share