
KUALA LUMPUR, 9 DIS 25 — Slogan Malaysia Madani dilaungkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lebih sekadar air kosong yang boleh berubah menjadi kotor, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Hadi berkata, sekiranya gagal kembali ke pangkal jalan, Madani akan menemui ajalnya.
“Hal ini menandakan alamat nyanyuk yang sedang menunggu ajal. Inilah wajah Malaysia Madani yang dapat disaksikan oleh semua.
“Sehinggakan madaninya dimajukan ke peringkat antarabangsa dan tersungkur menghilangkan maruah serta kedaulatan negara,
“Maka, ajalnya tiba sekiranya ia gagal kembali ke pangkal jalan dengan melakukan islah,” kata Hadi. Dalam hantaran Facebook.
Hadi mendakwa, disebalik laungan Madani, kerajaan masih gagal menangani rasuah dan salah laku, berlaku kezaliman dalam pentadbiran sehingga menafikan hak pembangkang atau sesiapa sahaja yang berani menongkah arus perubahan yang sangat negatif.
“Pemimpin yang menipu, boleh berlagak menjadi warak beragama dan melakonkan apa-apa sahaja mengikut lakonannya sama ada bersifat ibadat, berzikir dan bersolat atau leka dan lalai menari dan berhibur dengan sesiapa sahaja mengikut gendang yang dipalu,” katanya.
Katanya, konsep Malaysia Madani disebutkan secara mutlak seperti air mutlak (air kosong) yang boleh berubah sifat pada bila-bila masa, bersih atau kotor, manis atau tidak, keruh atau jernih.
“Muhasabah boleh dilakukan dengan nyata, apabila kita sedang menyaksikan keruntuhan moral yang sedang parah berlaku dalam kalangan rakyat; sama ada dalam rumah dan keluarga, di kawasan sekolah dan di lapangan yang luas sehingga gagal dikawal,” tambahnya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.