Wan Saiful Gesa Ahli “Reclaim” Bersatu, Sifatkan Muhyiddin Kini Bertarung Dengan Ahli Sendiri

KUALA LUMPUR, 5 DIS 25 — Suara penentangan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam BERSATU semakin lantang apabila Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan bahawa presiden parti itu kini “bukan lagi bertarung dengan musuh politik luar, tetapi dengan ahli partinya sendiri”.

Kenyataan keras itu hadir selepas pemimpin akar umbi BERSATU Sabah bangkit mendesak Muhyiddin berundur susulan kekalahan teruk parti dalam PRN negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Wan Saiful berkata, tindakan akar umbi di Sabah membuktikan bahawa amaran beliau selama ini sudah menjadi realiti.

“Muhyiddin sedar auranya sudah hilang. Hari ini, dia bukan lagi bertarung dengan kerajaan atau lawan politik, tetapi bertarung dengan ahli partinya sendiri — semata-mata untuk mempertahankan egonya,” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa pada Mesyuarat Khas MPT 7 September lalu, Muhyiddin dengan tegas berkata “I will fight!”, namun perjuangan itu kini hanya untuk menyelamatkan kedudukan peribadi, bukan masa depan parti.

Wan Saiful berkata, kumpulan kecil penyokong Muhyiddin cuba menepis desakan agar presiden meletak jawatan, tetapi usaha itu tidak lagi meyakinkan ahli parti.

“Orang luar mungkin terpengaruh, tapi ahli BERSATU tahu naratif mereka tak ada kredibiliti,” katanya.

Menurutnya, parti tidak perlu membazir masa dan tenaga mengadakan persidangan khas untuk memecat Muhyiddin.

“Punca perpecahan jelas. Selagi Muhyiddin kekal, parti terus hancur,” tambahnya.

Wan Saiful turut menyentuh ketakutan pemimpin tertentu yang enggan bersuara kerana takut tidak diberi watikah dalam pilihan raya.

“Apa nilai watikah kalau akhirnya kalah? Kalau dalam parti pun tak berani bercakap, bagaimana mahu yakinkan rakyat bahawa BERSATU mampu lawan pemerintah?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa BERSATU dan PN memerlukan rejuvenasi menyeluruh, sesuatu yang mustahil berlaku di bawah kepimpinan Muhyiddin.

“Jika ahli terus takut, Muhyiddin tak akan sedar diri. Tapi kalau memang ada yang mahu parti ini kalah, teruskanlah berdiam diri,” katanya sinis.

Wan Saiful mengakhiri kenyataan dengan menggesa ahli parti bangkit memperbetulkan kembali BERSATU.

“Sekarang masanya ahli bangkit menuntut kembali parti ini, mengembalikan keyakinan rakyat dan membuka jalan kemenangan pada pilihan raya akan datang. Lakukan sekarang sebelum terlambat. Reclaim BERSATU!”

Krisis dalaman BERSATU kini berada pada tahap paling kritikal apabila perpecahan bukan lagi antara blok politik tetapi antara presiden dan ahli partinya sendiri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share