
KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang digariskan ketika Belanjawan 2025 berkemungkinan tidak akan dapat dicapai disebabkan tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menjelaskan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sedang meneliti kesan tarif dan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK setelah terdapat lebih kepastian atas pelaksanaan dasar tarif pentadbiran Trump serta hasil rundingan dengan AS.
“Meskipun situasi ini adalah dinamik, besar kemungkinan kita tidak dapat mencapai unjuran Belanjawan 2025 bagi pertumbuhan KDNK 2025 iaitu antara 4.5% dan 5.5%,” katanya, ketika sidang Dewan Rakyat khas di Parlimen, hari ini.
Katanya, negara harus menerima kenyataan, berdasarkan angka yang diperolehi hari ini, bakal berdepan dengan unjuran ekonomi yang lebih sederhana dengan pertumbuhan ekonomi dunia 2025 dijangka berkembang lebih sederhana berbanding unjuran awal.
Anwar menjelaskan, berdasarkan IMF World Economic Outlook antara bulan April dan Januari 2025, pertumbuhan ekonomi global disemak semula kepada 2.8% berbanding 3.3% dengan Amerika Syarikat pada paras 1.8% berbanding sasaran 2.7%.
Bagi negara Asean, dianggarkan pertumbuhan sederhana dijangka untuk Indonesia sekitar 4.7% berbanding 5.1%; manakala Thailand 1.8% berbanding 2.9%; sementara Malaysia pula dijangka pada kadar 4.1% berbanding 4.7%.
“Jangkaan baharu ini bermaksud pertumbuhan ekonomi lebih sederhana di semua negara termasuk Malaysia,” kata Anwar lagi. @politiko.my