RESET Sokong Cadangan Tuan Ibrahim, Annuar Musa: Johor Mampu Jadi Penyatuan Politik Melayu

KUALA LUMPUR | 4 Jun 26 — Gerakan RESET menyatakan sokongan terhadap cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Tan Sri Annuar Musa supaya usaha penyusunan semula politik Melayu dimulakan di Johor.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan tersebut wajar diberikan perhatian kerana Johor mempunyai potensi untuk menjadi titik permulaan kepada pendekatan politik baharu yang lebih mengutamakan penyatuan.

Menurut beliau, sistem federalisme yang diamalkan Malaysia memberi ruang kepada konfigurasi politik berbeza di peringkat negeri dan Persekutuan tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

“Federalisme membenarkan kombinasi berbeza-beza di setiap negeri, dan susun atur persekutuan tidak mengekang susun atur negeri,” katanya di facebook, sebentar tadi.

Beliau berkata, pengalaman Sarawak menunjukkan bahawa kerjasama politik di peringkat negeri boleh mempunyai dinamik tersendiri berbanding kerajaan Persekutuan.

Justeru, Wan Saiful berpandangan Johor boleh menjadi negeri terawal di Semenanjung yang mencorakkan model kerjasama politik baharu berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Johor boleh menjadi model penyatuan politik parti-parti Melayu, sambil disokong oleh bukan Melayu yang tidak ekstrim, sebagai cerminan semangat sebenar acuan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, RESET terbuka dengan cadangan tersebut dan melihat ia sebagai peluang untuk membincangkan formula penyatuan yang lebih besar.

Katanya, gabungan kerjasama antara UMNO, PAS dan RESET di Johor berpotensi membentuk satu model baharu politik negara jika semua pihak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Saya gembira apabila Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Tan Sri Annuar Musa kedua-duanya mencadangkan agar penyusunan baharu politik Melayu dimulakan di Johor. Saya yakin RESET juga terbuka dengan cadangan itu,” katanya.

Wan Saiful berkata, isu teknikal seperti penggunaan logo atau nama parti tidak sepatutnya menjadi penghalang sekiranya wujud persetujuan terhadap prinsip kerjasama.

“Isu logo dan nama parti adalah isu teknikal yang boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya perkara prinsip telah dipersetujui,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama politik di Johor juga tidak semestinya bercanggah dengan susunan politik di peringkat nasional kerana kepelbagaian konfigurasi adalah sebahagian daripada amalan federalisme.

Katanya, PRN Johor mempunyai peluang untuk mencipta sejarah jika semua pihak sanggup mengetepikan perbezaan dan meletakkan agenda penyatuan sebagai matlamat utama.

“Johor boleh melakar sejarah melalui PRN ini. Rundinglah dengan meletakkan matlamat penyatuan sebagai paling tinggi,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share