Melayu Akan Hilang Tanah Air – Tun M Ulangi Amaran

KUALA LUMPUR, 20 NOV25 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa orang Melayu sedang berdepan ancaman besar kehilangan tanah air sendiri sekiranya isu pemilikan tanah dan perpaduan politik bangsa itu terus dipandang ringan.

Menurutnya, separuh daripada kawasan Semenanjung kini tidak lagi berada dalam pemilikan orang Melayu, terutama di kawasan bandar yang semakin berkembang pesat sehingga menyebabkan calon Melayu sukar menang di kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan, perkembangan pesat bandar turut menjadikan kawasan pinggir bandar sebahagian daripada wilayah bandar yang kebanyakannya telah dijual oleh pemilik Melayu, sekali gus menghakis penguasaan bangsa itu terhadap hartanah bernilai tinggi.

Katanya, tanah-tanah ladang besar, kawasan perumahan mewah, pusat industri, taman tema, lombong dan ladang pertanian juga tidak lagi dikuasai oleh Melayu, termasuk hampir keseluruhan Pulau Pinang yang didakwa terlepas daripada milikan asal bangsa tersebut.

“Apabila tanah milik Melayu hilang, kawasan pilihan raya majoriti Melayu juga berkurangan. Keadaan ini bertambah buruk apabila orang Melayu sendiri enggan keluar mengundi,” jelas beliau dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Dr. Mahathir berkata, perpecahan politik orang Melayu turut menjadi faktor yang menyebabkan tiada satu pun parti Melayu mampu memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan secara stabil.

Namun, beliau percaya penyelesaian masih ada sekiranya orang Melayu bersatu di bawah satu payung besar dan tidak lagi mengutamakan perbezaan politik serta pertubuhan, demi menyelamatkan Tanah Melayu sebagai warisan bangsa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kekayaan besar yang dimiliki institusi milik orang Melayu seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), KWSP, KWAP, Tabung Haji dan rizab Bank Negara mampu menjadi pemangkin menghapuskan kemiskinan jika orang Melayu berjaya menguasai pentadbiran negara.

Beliau turut mencadangkan dasar pembekuan penjualan tanah kepada pihak asing atau bukan Melayu, sebaliknya hanya membenarkan tanah disewa agar pemilik asal terus menikmati peningkatan nilai aset apabila dibangunkan.

Dr. Mahathir juga turut menegaskan  penguasaan dalam bidang perniagaan perlu menjadi teras transformasi Melayu kerana kemiskinan bangsa itu hanya dapat dihapuskan melalui keberanian mengeksploitasi aset sendiri serta perubahan sikap yang tidak lagi bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share