Oleh Ruhanie Ahmad

Nasionalisme atau semangat kebangsaan Melayu; lahir dari perasaan cinta, kasih, dan sayang yang tulen lagi abadi; kepada agama, bangsa dan tanah air.
Lazimnya, semangat ini menjadi asas kepada misi penyatuan Melayu untuk mempertahankan Islam, bangsa Melayu, dan Tanah Melayu; daripada apa jua ancaman dalaman atau luaran.
Pada tahun 1946, meledak nasionalisme Melayu yang berpaksikan slogan Hidup Melayu. Tiupan semangat kebangsaan ini hanya dilakukan menerusi hebahan media cetak di Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor.
Matlamatnya, untuk mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu, dan melindungi Raja-Raja Melayu yang mahu diremehkan statusnya oleh penjajah Inggeris, menerusai gagasan Malayan Union.
Penyatuan Melayu menerusi ledakan semangat kebangsaan ini, berjaya menghancurkan agenda jahat Inggeris untuk menubuhkan Pentadbiran Malayan Union di Tanah Melayu, dan berjaya mengembalikan semula status Raja-Raja Melayu di negeri-negeri Melayu.
Nasionalisme Melayu ini juga mendorong pemimpin politik Melayu berhaluan kiri, bergabung dengan persatuan dan pertubuhan Melayu berpendirian sederhana.
Mereka singkirkan corak perjuangan masing-masing, untuk menubuhkan UMNO sebagai wadah perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Hari ini, gerakan massa orang Melayu, di era selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), meledakkan kebangkitan semangat kebangsaan Melayu di Abad ke-21, berteraskan slogan Melayu Bersatu.
Gerakan ini dipelopori oleh Sekretariat Proklamasi Orang Melayu (POM), pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia bersifat sukarela, melangkaui perjuangan politik kepartian, bebas dari cengkaman kerajaan, dan tidak memihak kepada pembangkang.
Ini bermakna, nasionalisme Melayu di Abad 21 boleh didukung, digerak, dan disemarakkan oleh seluruh sektor orang Melayu – baik individu yang berparti atau tidak berparti – untuk merangsang penyatuan Melayu menjelang PRU16.
Ini termasuk orang Melayu dalam PKR, UMNO, atau Amanah; dalam PAS, BERSATU, Berjasa, Pejuang atau Putra; dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta; serta Melayu dalam pelbagai pertubuhan dan NGO.
Ini juga membuktikan, Melayu yang kecewa dengan DAP atau PKR; yang marah dengan UMNO; dan ahli Amanah yang enggan dijadikan kuda tunggangan kepada kumpulan anti-Melayu; pun boleh mendukung misi penyatuan Melayu, dan menyemarakkan nasionalisme Melayu di era mutakhir.
Melayu dalam PAS, BERSATU dan lain-lain parti politik pula dijangka beroleh manfaat besar jika mendukung misi penyatuan Melayu dan menyemarakkan semangat kebangsaan Melayu pada hari ini.
Golongan Melayu tidak berparti dan kumpulan Melayu atas pagar, pasti bangga dengan penglibatan parti pembangkang dalam misi ini, dan keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam PRU16.
Begitu juga hakikatnya dengan keterlibatan NGO Melayu yang sama-sama memperjuangkan penyatuan Melayu, menerusi usaha penyemarakan nasionalisme Melayu, ketika ini.
Peranan mereka wajar dihargai. Mereka menganjurkan ceramah umum di merata Tanah Melayu, dan mengadakan Himpunan Melayu Berdaulat, di Kuala Lumpur, pada 24 Mei 2005.
Turut sama dihargai, adalah kumpulan nasionalis warga internet dan pempengaruh nasionalis di alam maya; termasuk warga Team Walabot (TW) pimpinan Wan Azri Wan Deris.
Mereka berwacana secara konsisten dan berfakta, untuk memperhebatkan misi penyatuan Melayu dan menyemarakkan nasionalisme Melayu Abad 21, meneusi pelbagai pelantar media sosial.
Seluruh pendukung nasionalisme Melayu dan pejuang penyatuan Melayu di atas, menginsafi matlamat berikut:
Pertama, merampas kembali kuasa politik Melayu yang sudah “terlucut dari tangan mereka” akibat perpecahan politik Melayu ketika PRU15.
Kedua, mencegah dan mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu dari terlepas ke tangan “orang lain”, termasuk anasir the New World Order yang didalangi oleh zionis; mungkin dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.
Ketiga, secara khususnya, mempertahankan Islam selaku Agama Persekutuan, orang Melayu selaku bangsa teras, dan Tanah Melayu selaku wilayah induk kepada Malaysia.
Namun begitu, banyak pihak masih mencari jawapan kepada persoalan berikut:
Satu: Jika orang Melayu dituntut untuk merampas kembali kuasa politik bangsanya yang terlepas ke tangan lain; kenapakah misi penyatuan Melayu mutakhir ini dilaksanakan melalui pendekatan yang melangkaui politik?
Dua: Jika misi merampas kuasa bagi pihak Melayu ini perlu dilakukan melalui PRU16, kenapakah PN belum memperkenalkan calon perdana menteri yang mewakili blok pembangkang?
Tiga: Jika pelbagai NGO Melayu turut aktif memperjuangkan penyatuan Melayu menerusi nasionalisme Melayu Abad 21, adakah beberapa pemimpin NGO juga dipertimbangkan menjadi calon mewakili PN dalam PRU16?
Persoalan ini releven, tetapi rumit. Ia melibatkan pelbagai strategi yang tersirat di sebalik slogan Melayu Bersatu. [Nantikan ulasannya minggu hadapan]
Datuk Dr Ruhanie Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong Johor (1990-2003); adalah Ahli Majlis POM yang memfokus kepada keselamatan politik Melayu dan keselamatan jati diri nasional dalam Perlembagaan Persekutuan