
KUALA LUMPUR, 24 NOV 25 — Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu hanya menerima satu parti Melayu dan sukar menerima satu parti terdiri daripada berbilang kaum.
Mereka bagaimanapun sedia bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk gabungan untuk mentadbir kerajaan.
“Itu juga kita pegang. Kita satukan orang Melayu tapi bila nak buat kerajaan kita boleh kerjasama dengan parti bukan Melayu asalkan mereka terima dasar yang memihak kepada semua kaum,” katanya dalam video wawancara bersama politiko.
Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, disebabkan itu cadangan Datuk Onn Jaafar untuk membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu ditentang sehingga menyaksikan pengasas parti itu menubuhkan parti berbilang kaum.
“Orang Melayu tak boleh terima Umno jadi parti pelbagai kaum mereka hanya boleh terima parti Umno sebagai parti Melayu tetapi mereka tidak bantah kalau ada gabungan, satu parti tak boleh,” katanya.
Disebabkan itu, Dr Mahathir berkata, pentadbiran kerajaan pimpinan Umno menyaksikan pelbagai kaum berada dalam gabungan kerajaan, melalui kerjasama dan bukan satu parti.
“Tak pernah berlaku orang Melayu tadbir Malaysia ini Melayu sahaja. Bila Tunku Abdul Rahman menang dia ambil Cina dan India (sertai Kabinet).
“Saya pun ada hajat macam itu. Tapi kalau nak satukan (dalam satu parti) orang Melayu dan Cina, orang Melayu tak sokong.
” Orang Melayu khuatir, macam PKR, mereka ketepikan kepentingan Melayu sebab itu mereka nak satu parti Melayu kuat berada dalam kerajaan tapi taklah sehingga orang lain tidak boleh ada sama,” katanya.
Oleh demikian, Dr Mahathir menegaskan, satu gabungan Melayu yang kuat diperlukan sebelum gabungan pelbagai kaum dibentuk.
“Dengan ada gabungan. Melayu dulu lepas itu kita boleh ada gabungan (pelbagai kaum),” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.