
KUALA LUMPUR, 22 Okt 25 – Anggota sayap Pemuda Bersatu mengakui dakwaan bekas ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pemilihan sayap itu sebelum ini menimbulkan keraguan disebabkan prosesnya berlangsung dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Pengerusi Tetap Armada Bersatu Mohd Firdaus Mohd Zaini berkata, beberapa insiden menunjukkan proses pemilihan berlaku dalam keadaan tidak telus dan menyaksikan Adun Gombak Setia Hilman Idham menang pemilihan bagi jawatan ketua Armada.
“Selepas itu kita jadi sangsi kerana beberapa kali nak umum kemudian ditangguhkan, berlaku dua kali.
“Antara itu kita tak tahu apa berlaku tapi banyak undi ditolak dan kita tak dijelaskan, kenapa dan bahagian mana yang ditolak.
“Alasan tidak diberi kepada akar umbi kenapa undi ditolak, kami yang bertanding pun tak tahu kenapa ditolak,” katanya, kepada politiko.my.
Firdaus berkata, isu dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang itu dilihat besar kerana melibatkan pemilihan ketua Armada.
Dua pasukan bertanding ketika itu yang mana kumpulan Hilman menggunakan slogan ‘Armada Untuk Semua’ menang majoriti 170 undi menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir yang menggunakan slogan ‘Kita Armada’ dalam pemilihan parti itu.
“Wan Ahmad Fayhsal kata undi kotor, saya tak pasti definisi kotor beliau macam mana tapi memang tak telus,” katanya.
Menurutnya, peringkat awal pengiraan undi menunjukkan Zahin mendahului dengan lebih 60 undi, namun selepas beberapa penangguhan Hilman mendahului dan diumumkan sebagai pemenang.
Aiman Afiq Majid, bekas calon pengerusi tetap Armada turut mengakui kelemahan dari aspek ketelusan proses pemilihan sayap itu berlaku.
“Seperti ada beberapa bahagian tiba-tiba dibatalkan dan tiada sebab pun. Kalau macam saya, kalau dibatalkan itu, okey, sebab apa? Tapi, pembatalan itu tak tahu sebab apa.
“Kenapa sampai tiga hari perkiraan undi ataupun dua hari? Seperti ada satu persepsi buruk akan timbul bila kita tengok pun, mungkin akan datang kena diperbetulkan susunan ni. Kenapa dibatal? Kenapa benda ni lambat kira?,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar Jabatan Pemilihan Parti (JPP) wajar diletakkan di luar daripada pengurusan parti untuk menjamin ketelusan.
Sementara itu, Ketua Armada Beruas Shahrul Arif Jamaludin turut membangkitkan persoalan persidangan Armada bahagian itu didakwa tidak sah sedangkan laporan sudah dibuat dengan teratur kepada ibu pejabat.
“Kami punya persidangan, tak ada masalah dan dah hantar laporan dengan baik dekat kepada JPP yang HQ ataupun di negeri dan daripada bahagian saya tak ada masalah.
“Tapi ada juga orang buat aduan berkenaan mesyuarat kami tidak sah sedangkan JPP sendiri pun tak ada usulkan bahagian kami ada masalah bersidang,” katanya.
Aduan katanya diterima mengatakan mesyuarat tidak mencukupi kehadiran perwakilan seperti kehadiran yang hadir sedangkan JPP menjalankan tugas merakam setiap persidangan sebagai bukti.
“Kami persoalkan kenapa bahagian kami kena aduan dan dia kata tidak sah. Bila kami lawan balik bahagian kami tidak digantung.
“Tapi kami peliklah Kenapa nak ada aduan? Semua dah mengkhianati kami punya perwakilan Armada Beruas. ” katanya.
Baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendedahkan bahawa proses pemilihan sayap pemuda parti itu baru-baru ini didakwa berlangsung secara “kotor” dengan pelbagai bentuk manipulasi yang mencemarkan integriti parti.
Menurut beliau, dalam pemilihan tersebut, calon yang diumumkan menang iaitu Ahli Parlimen Gombak, YB Hilman Idham, sebenarnya tewas berdasarkan kiraan undi awal yang dibuat di peringkat bahagian. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.