
KUALA LUMPUR, 5 Jul 25 – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui kesilapan selepas kementeriannya melantik usahawan vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Rembau.
Dzulkefly juga mengakui pelantikan itu telah memberi impak yang besar terhadap persepsi umum kepada kementerian tersebut.
“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, KKM menerima sebanyak 2,860 pencalonan bagi ALPH Hospital Rembau daripada pelbagai pihak termasuk hospital, exco kesihatan negeri serta pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.
Katanya, setiap pencalonan turut melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil-wakil negeri masing-masing.
“Namun dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen ‘Conflict of Interest’ dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM.
“Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Dzulkefly memberi jaminan proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan diperkemas dan disemak semula.
Menurutnya, ia termasuk daripada aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dengan dasar kesihatan awam negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.