Politik adalah perjuangan. Bagi orang Islam, panduan utamanya ialah al Quran dan sunnah. Contohnya, “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh (agar membuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya” (Ali ‘Imran: 104).
Petikannya yang lazim digunakan ialah amar makruf nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran; enjoining good, forbidding evil).
Selanjutnya, bagi rakyat Malaysia, panduannya ialah tonggak-tonggak negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Rukun Negara.
Apabila diterjemah sebagai nilai-nilai dan prinsip-prinsip, maka, ia bermaksud, antaranya, menegakkan kebenaran, keadilan dan konsensus serta menentang kepalsuan, kezaliman dan kehancuran.
Persoalan kebaikan melawan kemungkaran selari dengan naluri semula jadi manusia. Semua orang mencintai sesuatu yang baik dan membenci sesuatu yang mungkar.
Apabila digarap sebagai dasar, maka lahirlah, antaranya, Wawasan 2020 (Mahathir Mohamad), Islam Hadhari (Abdullah Badawi) dan Dasar Transformasi Nasional (Najib Razak).
Kini, Hamzah Zainudin menampilkan Konsensus Nasional Baru dengan matlamat membangun Malaysia yang lebih baik. Atau sekurang-kurangnya mencapai tahap ketika kita digelar ‘Harimau Asia’ dahulu. Pokoknya ia soal agenda rakyat.
Paling segera ialah menyelesaikan masalah-masalah rakyat hari ini. Supaya semua orang ada makanan di atas meja, ada wang di dalam poket dan ada rumah tempat berteduh. Supaya tidak ada yang didiskriminasi, ditinggalkan dan dizalimi.
Bagi Hamzah, ini perjuangan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Sesungguhnya, perjuangan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah selari dengan perjuangan setiap orang yang mencintai nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang dibariskan tadi serta nalurinya, iaitu tanpa mengira kaum, agama dan golongan.
Justeru, ia bukan soal ‘menunggang agama’ (seperti yang dituduh pihak tertentu). Sebaliknya, ia soal ‘menjunjung agama’. Ia bukan ‘gelombang hijau’ (yang dipropaganda pihak tertentu) untuk ditakuti. Sebaliknya, ia ‘gelombang putih’ (gerakan reset bagi merealisasikan Konsensus Nasional Baru) untuk disertai.
Ajaran agama, tonggak-tonggak negara, nilai-nilai dan prinsip-prinsip serta naluri tersebut perlu dihayati dan diamalkan dalam perjuangan parti-parti politik.
Apabila ‘politik kebaikan’ diamalkan, ia bermakna politik yang bersandarkan ilmu, hikmah, integriti dan bakti. Manakala ‘politik kemungkaran’ ialah politik yang bersandarkan kepalsuan, fitnah, rasuah dan manipulasi.
Niat menyertai politik hendaklah ikhlas, menawarkan sesuatu yang baru dan segar kepada rakyat, tidak obses menjadi Perdana Menteri dan tidak melakukan kemungkaran (contohnya, munafik dan skandal seks).
Munafik bermakna berbohong, mungkir janji dan mengkhianati amanah. Skandal seks termasuklah perlakuan luar tabii. Pemimpin-pemimpin mungkar mesti ditentang.
Begitu juga pemimpin yang berkata, “A*..* ada skandalpun jadi *..*, si-B ada macam-macam skandalpun jadi *..*, jadi apalah sangat video (skandal) si-C”. Maknanya dia meredakan atau menormalisasi kemungkaran. Dia juga mesti ditentang.
Memanglah amat sukar bertemu pemimpin sempurna. Tetapi pokoknya, sokonglah pemimpin yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Lawan dan tolak mereka yang melakukan kemungkaran atau meredakan dan menormalisasi kemungkaran. Kerana kompas moralnya telah rosak!
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.