
KUALA LUMPUR, 17 APR 25 – Pertemuan pemimpin negara-negara Asia Tenggara (Asean) bersama jeneral Junta Myanmar adalah satu langkah ke belakang, kata bekas menteri luar Saifuddin Abdullah.
Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pemimpin Asean tidak pernah mengadakan pertemuan bersama kepimpinan junta sebelum ini.
“Sepanjang tempoh saya sebagai menteri luar, Malaysia dan Asean perlu bertemu Kerajaan Perpaduan Negara Myanmar (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC).
“Junta hanya menguasai 30% kawasan negara, mereka sedang mengalami kekalahan,” kata Saifuddin.
Justeru katanya, gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini tidak seharusnya membuka jalan untuk menormalisasi hubungan antarabangsa bersama junta.
“Oleh yang demikian, pertemuan Asean bersama junta adalah kesilapan terutamanya apabila tiada sebarang kenyataan untuk pertemuan bersama NUG, dan NUCC,” katanya
Reuters melaporkan, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan mengadakan rundingan di Bangkok pada hari ini dengan ketua junta Myanmar untuk mendesak lanjutan gencatan senjata, satu pertemuan yang dikritik oleh beberapa kumpulan yang memerangi tentera di negara yang dilanda gempa bumi itu.
Anwar, selaku pengerusi semasa perkumpulan 10 negara ASEAN, berkata beliau akan bertemu dengan Jeneral Kanan Myanmar Min Aung Hlaing atas dasar kemanusiaan, walaupun blok Asia Tenggara itu sendiri telah menjauhi junta brass selama bertahun-tahun.
“Ada kemungkinan junta mengeksploitasi peluang ini untuk membina legitimasi dalam rangka kerja ASEAN,” kata Sai Kyi Zin Soe, seorang penganalisis politik bebas yang berpangkalan di Thailand. @politiko.my