
KUALA LUMPUR, 15 DIS 25 — Cadangan pembinaan Jambatan Melaka–Indonesia disifatkan tidak realistik dari sudut kewangan dan berisiko tinggi menjadi projek gajah putih, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Menurut beliau, persoalan utama ialah kemampuan sebenar kerajaan negeri Melaka untuk menanggung kos berbilion ringgit serta kesan jangka panjang kepada kewangan awam dan alam sekitar walaupun projek itu dilihat tidak mustahil untuk dilaksanakan dari aspek teknologi dan kejuruteraan.
“Hasil negeri Melaka adalah terhad dan sebahagian besarnya digunakan untuk perbelanjaan mengurus. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan negeri malah melebihi hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Yadzil mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri, hutang awam negeri, termasuk kepada kerajaan Persekutuan, masih tertunggak, selain tunggakan hutang agensi dan anak syarikat kerajaan negeri yang belum dilunaskan.
“Jika hutang sedia ada pun belum mampu diurus dengan baik, bagaimana kerajaan mahu meyakinkan rakyat bahawa hutang baharu bernilai berbilion ringgit boleh dikendalikan secara berhemah?” katanya.
Selain itu, katanya, wujud kebimbangan terhadap kesan kepada alam sekitar, seperti mana laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek tambakan laut SM-WEZ yang telah merekodkan kesan negatif terhadap ekosistem pesisir, nelayan dan risiko banjir.
“Meneruskan projek jambatan ini berisiko menggandakan kemusnahan ekosistem, sedangkan Selat Melaka adalah antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia,” katanya.
Berbeza seperti Tambak Johor, Dr Yadzil menegaskan, ia dibina atas keperluan ekonomi sedia ada dan menghubungkan dua pusat ekonomi utama.
Sedangkan cadangan membangunkan jambatan Melaka–Indonesia merentasi laluan kapal antarabangsa dan menghubungkan kawasan yang bukan pusat ekonomi utama.
“Persoalan utama ialah, untuk siapa jambatan ini dibina, sedangkan rakyat Melaka sendiri masih berdepan kos sara hidup tinggi, infrastruktur asas bermasalah dan peluang ekonomi yang terhad.
“Rakyat tidak menilai kerajaan berdasarkan saiz projek, tetapi keupayaan mengurus wang awam dengan amanah dan melindungi kebajikan rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.