“Mesyuarat Pun Belum Dipanggil”, PAS Nafi Dakwaan Muhyiddin Kekal Pengerusi PN,

KUALA LUMPUR | 23 Jan 26 — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan rasmi dibuat setakat ini mengenai kepimpinan tertinggi gabungan itu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan media berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak berasas kerana mesyuarat rasmi PN bagi memuktamadkan jawatan pengerusi masih belum diadakan.

“Belum ada keputusan. Mesyuarat pun belum dipanggil,” katanya ringkas ketika ditemui media.

Abdul Hadi menegaskan PAS masih berpegang kepada resolusi muktamar parti yang menetapkan bahawa jawatan Pengerusi PN wajar diterajui oleh wakil PAS, namun perkara itu perlu diputuskan melalui saluran rasmi gabungan.

Menurut beliau, PAS tidak menerima sebarang makluman rasmi bahawa Muhyiddin telah dipersetujui untuk terus memegang jawatan tersebut, sekali gus menolak laporan yang mendakwa perkara itu telah dimuktamadkan.

Isu kepimpinan PN kembali menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan itu sebelum ini, yang mencetuskan spekulasi berhubung hala tuju dan struktur kepimpinan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sementara itu, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan keputusan mengenai pengerusi PN baharu akan dibincangkan dalam masa terdekat, namun menegaskan sebarang pengumuman hanya akan dibuat selepas rundingan rasmi antara parti-parti komponen dimuktamadkan.

Setakat ini, PN masih belum mengumumkan tarikh mesyuarat rasmi bagi membincangkan pelantikan kepimpinan baharu gabungan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share