MKN Perkemas SOP Latihan Ketenteraan

KUALA LUMPUR | 28 Mei 26 — Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan bahawa pelaksanaan latihan ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus dilaksanakan secara profesional, terancang dan mematuhi segala prosedur keselamatan termasuk aspek pemeliharaan alam sekitar serta sensitiviti masyarakat setempat.

Menerusi kenyataan media MKN, sidang MKN yang diadakan pada 25 Mei 2026 menyatakan bahawa setiap latihan dan operasi ketenteraan tertakluk kepada prosedur kelulusan yang ketat serta penyelarasan bersama kementerian, kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, semua latihan ketenteraan perlu melalui proses kelulusan dan pengesahan pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar atau Ketua Menteri sebelum sesuatu latihan dilaksanakan.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa.

“Penilaian pasca-latihan turut akan dilaksanakan bagi meneliti keberkesanan pelaksanaan serta memastikan sebarang impak dan kerosakan ditangani sewajarnya,” menurut kenyataan tersebut.

MKN turut memaklumkan bahawa latihan ketenteraan dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara ATM, kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap operasi berjalan secara tersusun, selamat dan seimbang dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang , Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini bertitah dan menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan latihan ketenteraan di kawasan kepulauan negeri Pahang yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem alam sekitar dan sensitiviti setempat.

Baginda turut menitahkan supaya pihak ATM serta semua jabatan dan agensi berkaitan mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di negeri itu.

MKN dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan pertahanan merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara, namun pada masa sama aspek keseimbangan antara operasi pertahanan dan sensitiviti masyarakat perlu terus diberi perhatian. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share