
KUALA LUMPUR | 26 Julai 26 – Ahli UMNO, Isham Jalil menegur Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menunjukkan semangat setiakawan dalam kerjasama politik dengan tidak mengkritik rakan sendiri secara terbuka.
Mengulas kontroversi kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Isham berkata beliau berpandangan kenyataan itu telah disalah tafsir sehingga mencetuskan polemik politik.
“Saya nak cakap pada Datuk Seri Zahid… kalau nak berkawan, buat cara berkawanlah,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah.
Menurut beliau, sekiranya terdapat perbezaan pandangan terhadap kenyataan Sanusi, tindakan mengkritik secara terbuka bukan pendekatan yang membantu mengukuhkan kerjasama politik.
“Kalau tak nak ‘cover’, diam sajalah,” katanya.
Isham turut mempertahankan kenyataan Sanusi yang menyebut orang Melayu hanya mempunyai “Tanah Melayu”, sambil menjelaskan maksud sebenar ucapan itu ialah orang Melayu menganggap Malaysia sebagai tanah air yang tidak mempunyai pengganti.
“Dia tak tersilap cakap. Benda yang dia cakap itu betul. Maksud dia, kita orang Melayu, inilah tanah kita. Kita nak pergi mana lagi? Kita tak boleh pergi mana dah,” katanya.
Beliau mendakwa kenyataan itu kemudiannya diputarbelitkan oleh pihak lawan sehingga Sanusi dilabel memainkan sentimen perkauman.
Dalam masa sama, Isham mempersoalkan tindakan Zahid yang menurutnya lebih lantang mengkritik Sanusi berbanding pemimpin lain dalam kerajaan.
Beliau turut membandingkan reaksi Presiden UMNO itu terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dengan mendakwa Zahid sebelum ini memilih mempertahankan rakan Kabinetnya apabila timbul kontroversi.
Selain itu, Isham turut merujuk kepada kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mempertahankan Sanusi dan menyalahkan DAP kerana didakwa sering memainkan isu perkauman.
“Macam mana pula Wee Ka Siong boleh ‘backup’ Sanusi, tetapi presiden pula balun Sanusi?” soalnya.
Beliau menegaskan kerjasama politik memerlukan kepercayaan dan saling menghormati antara rakan gabungan, sambil mengingatkan bahawa kritikan terbuka terhadap sekutu sendiri hanya memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Sanusi ketika berceramah di Jempol, menyebut orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain manakala kaum India, Cina, Kemboja dan Thai mempunyai negara yang dikaitkan dengan kelompok etnik masing-masing.
“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand.
“Melayu di mana? Melayu di sini saja,” kata Sanusi di hadapan lebih 300 hadirin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.