Mohamad Hasan: Iktiraf UEC Hanya Jika Selaras Aspirasi Nasional

KUALA LUMPUR, 13 DIS 25 — Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun hanya jika ia digubal semula agar selari dengan aspirasi kebangsaan dan dilaksanakan dalam bahasa Melayu, tegas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata selama UEC tidak memenuhi ciri-ciri tersebut, sijil itu tidak boleh dianggap setara dengan kelayakan nasional.

“Sistem pendidikan negara mesti dibina atas misi, nilai dan kepentingan nasional. Ia mesti dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan untuk memperkukuh identiti negara,” katanya dalam kenyataan Facebook.

Menurutnya, tanpa reformasi terhadap kurikulum UEC, kerajaan tidak wajar dipaksa mengiktiraf kelayakan itu.

Kenyataan Mohamad hadir selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh menegur Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming, yang mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.

Katanya, Umno menegaskan mereka tidak akan berganjak daripada pendirian tersebut.

Mohamad menekankan bahawa perpaduan negara tidak boleh dibina tanpa sistem pendidikan yang menyatukan rakyat melalui bahasa kebangsaan dan kurikulum berteraskan kearifan tempatan.

“Standard antarabangsa boleh diambil kira, tetapi identiti nasional mesti menjadi asasnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa UEC telah dilaksana sejak 1975 tanpa sebarang larangan kerajaan, malah diterima di banyak universiti dalam dan luar negara.

Namun, katanya, isu sebenar ialah pengiktirafan rasmi sebagai setara dengan kelayakan kebangsaan, sesuatu yang tidak munasabah jika kurikulumnya tidak direka untuk memupuk identiti pendidikan nasional.

“Rakyat bebas memilih belajar dalam sistem UEC. Tetapi jangan paksa kerajaan mengiktiraf kelayakan yang tidak menepati asas pendidikan negara,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share