Gerakan Cadang PN Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Speaker

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 25 – Perikatan Nasional (PN) disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sekiranya gagal menjelaskan status enam Ahli Parlimen yang didakwa mengkhianati parti itu.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan undang-undang itu adalah satu keperluan bagi mempertahankan serta memperjelas ketelusan dan semangat Akta Anti-Lompat Parti.

“Speaker sepatutnya bertindak sebagai ‘hakim’ di Parlimen, bukannya ‘posmen’ kerajaan, apatah lagi menjadi ‘cap getah’ kerajaan.

“Speaker wajib melaksanakan tugasnya secara bebas dan berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana pihak, serta mempengerusikan mesyuarat berdasarkan undang-undang dan peraturan mesyuarat Parlimen. Beliau tidak sepatutnya menjadi pelaksana agenda kerajaan dalam Parlimen,” katanya, dalam satu kenyataan.

Dominic berkata, kuasa yang dimiliki oleh speaker pada masa ini perlu dihadkan.

“Jika tidak, ia boleh menjadi alat kepada penyalahgunaan kuasa oleh parti pemerintah, dan ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan undang-undang sedia ada. Walaupun speaker Dewan Rakyat menikmati kekebalan dan keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah, tindakan keenam-enam Ahli Parlimen tersebut yang mengkhianati PN sebenarnya bersamaan dengan tindakan melompat parti,” kata beliau.

Akta Anti Lompat Parti katanya seharusnya menjadi undang-undang untuk menghalang dan menghukum Ahli Parlimen yang melompat parti, dan bukannya menjadi alat permainan politik kerajaan.

“Memandangkan Pakatan Harapan (PH) sering kali menyeru pelaksanaan reformasi, maka mereka sewajarnya melaksanakan akta ini secara tegas agar keenam-enam Ahli Parlimen tersebut kehilangan status mereka,” kata Dominic. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share