
KUALA LUMPUR | 11 Mac 26 – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari, mengecam sekeras-kerasnya insiden pembakaran kenderaan yang dilaporkan melibatkan seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra, menegaskan bahawa perbuatan ganas seperti ini tidak boleh diterima dalam negara yang berteraskan undang-undang dan keamanan.
Dalam kenyataan di facebook semalam, Fadhli menekankan bahawa semua pihak dan rakyat perlu kekal tenang serta tidak bertindak di luar batas kewarasan. Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa mesti mengambil serius perkembangan ini dengan melaksanakan siasatan yang segera, telus, dan menyeluruh.
“Individu atau kumpulan yang terlibat mesti dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan agar keadilan dapat ditegakkan serta menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan tindakan serupa,” kata Fadhli.
Beliau menambah, sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati harus disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah, dan mengambil undang-undang di tangan sendiri hanya akan membuka ruang kepada provokasi dan ekstremisme.
Ahli Parlimen itu juga memberi amaran bahawa keadaan yang tidak terkawal boleh dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk mencapai agenda mereka, seterusnya menjejaskan keselamatan awam dan kestabilan negara.
“Semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bertanggungjawab demi memastikan keamanan negara terus terpelihara,” ujarnya.
Terdahulu, tiga kereta milik seorang aktivis dikenali Cikgu Chandra terbakar dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali. Kejadian ini berlaku selepas rumah beliau di Puchong diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada dalam keretanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.