Muhyiddin Akan Serah Jawatan Presiden Bila Bersedia, Kata Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 NOV 25 — Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan hasrat menyerahkan kerusi presiden Bersatu kepadanya, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam wawancara bersama radio BFM, Ahli Parlimen Larut itu berkata, proses peralihan kuasa itu akan ditentukan Muhyiddin bila tiba masanya.

“Umum diketahui presiden (Muhyiddin) mahu serahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia,” kata timbalan presiden Bersatu.

Timbalan presiden Bersatu itu turut memberikan contoh peralihan kuasa itu ibarat acara larian berganti-ganti.

“Persoalannya adalah peralihan, dan itu bergantung kepada presiden, bila beliau mahu serahkan ‘baton’ itu.

“Bagi saya, terpulang kepadanya (Muhyiddin). Seperti lari berganti-ganti 4×100, mungkin saya pelari kedua dan beliau yang pertama. Saya hanya menunggu…sebaik sahaja beliau serahkan ‘baton’, saya akan ambil dan lari,” kata Hamzah dalam podcast BFM baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat perbincangan dengan Muhyiddin untuk proses peralihan kuasa dalam Bersatu.

Hamzah turut menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap ahli Parlimen Pagoh itu sebagai presiden Bersatu.

Penegasan sama sebelum ini turut dizahirkan Hamzah ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu.

“Tidak sepatutnya timbul lagi sebarang persoalan kerana saya telah beri sokongan penuh kepada presiden saya,” tegasnya.

Malah, Hamzah berkata, polemik kepimpinan melanda Bersatu hari ini sehingga menyaksikan tindakan disiplin terhadap pimpinan adalah biasa dalam politik kepartian.

Polemik itu menyaksikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama sepenggal.

“Saya harap perbalahan politik dalaman mengenai kepimpinan (parti) akan segera berakhir, tidak berlarutan, ” kata Hamzah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share